
Beliau merujuk tindakan kerajaan menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) yang mewajibkan premis perubatan am memaparkan harga ubat mulai 1 Mei lalu.
Thirunavukarasu berkata kerajaan diminta mempertimbangkan untuk menggunakan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Akta 586) kepada profesion perubatan bukan Akta 723.
Menurutnya, Akta 586 turut merangkumi ketelusan yang memberi hak kepada pengguna untuk mengetahui harga ubat dan menteri kesihatan juga mempunyai kuasa untuk membuat sebarang perubahan.
“Kita memang sokong ketelusan dari segi sektor kesihatan yang sudah ada dalam Akta 586.
“Kita rasa terkilan sebab samakan perkhidmatan profesional dengan jual barang (di kedai runcit),” katanya pada sidang media.
Terdahulu, beliau bersama lebih 300 pengamal perubatan am (GP) mengadakan himpunan membantah penggunaan Akta 723 berkaitan mewajibkan klinik swasta dan farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan.
Thirunavukarasu turut mengetuai kumpulan itu menyerahkan memorandum berkaitan isu terbabit kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Beliau sebelum itu turut serta dalam himpunan pengamal perubatan am (GP) yang berhimpun sejak 9.30 pagi tadi bagi menyerahkan memorandum kepada PMO.
Langkah mewajibkan klinik swasta dan farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan mulai 1 Mei lalu dikritik MMA kerana dilaksanakan di bawah undang-undang yang tidak berkaitan dengan kesihatan.
Peraturan itu dikuat kuasa oleh KKM dengan panduan serta kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.