
Bercakap dalam satu program di ibu negara, Anwar berkata, AMD akan memberikan tumpuan pada operasinya di Pulau Pinang dan Cyberjaya.
“Kita beritahu (AMD) kita akan beri sokongan penuh untuk cepatkan proses itu,” katanya.
Terdahulu, Anwar memaklumkan di platform media sosial X bahawa beliau menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif AMD Lisa Su secara maya pagi ini.
Beliau berkata, AMD menyatakan sokongan terhadap Strategi Semikonduktor Nasional, yang memberi tumpuan mewujudkan rantaian bekalan yang pelbagai.
“Untuk maksud itu, Malaysia kekal optimistik terkait perkongsian strategik dengan syarikat-syarikat seperti AMD yang akan meletak serta melonjak negara ke arah yang lebih baik dalam ekosistem sektor ini untuk jangka masa panjang,” katanya.
Diasaskan pada 1968, AMD mereka bentuk dan mengeluarkan CPU, GPU dan penyelesaian grafik lain untuk pelanggan seperti Microsoft, Sony (konsol permainan) dan penyedia perkhidmatan awan global.
AMD telah hadir di Malaysia sejak 1972, bermula dengan fasiliti pertamanya di Pulau Pinang.
Sejak itu, operasi syarikat itu telah berkembang merangkumi 800 pekerja, dengan dua fasiliti perkhidmatan guna sama global di Pulau Pinang dan Cyberjaya.