
Hakim K Muniandy membenarkan lanjutan itu pada pengurusan kes hari ini susulan permohonan lisan Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul.
“Niatnya untuk memberikan keputusan pada bulan depan, tetapi saya tidak bebas menyatakan sama ada ia negatif atau positif,” katanya.
Peguam kanan Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri itu memohon mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Najib atas alasan kerana perkara itu tergantung terlalu lama.
“Kami mengemukakan representasi seawal 31 Julai 2023.
“Representasi, dari segi fakta, tidak berubah. Ia representasi sama yang kami tidak terima sebarang jawapan daripada AGC.
“Disebabkan ia akan menjadi dua tahun sejak representasi dikemukakan, boleh saya memohon secara rasmi kepada Yang Arif untuk memberikan DNAA atas perkara ini.
“Kami hanya memohon DNAA, jika mereka (pihak pendakwaan) mahu memfailkan semula kes ini, mereka boleh berbuat demikian.”
Ashrof berkata, pihak pendakwaan menyerahkan perkara itu kepada budi bicara mahkamah.
Muniandy mengarahkan Najib menghadiri pengurusan kes pada 11 Jun ini. Pihak pendakwaan turut diminta bersedia membuat penghujahan berhubung permohonan DNAA pihak pembelaan.
Najib, 71, memohon tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dikemukakan terhadapnya pada Februari 2019 ditarik balik.
Dalam kes yang bermula 3 April 2019, Najib berdepan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan RM42 juta dana SRC International.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi mendapati bekas perdana menteri itu bersalah atas semua tujuh pertuduhan terbabit. Rayuannya kepada Mahkamah Rayuan ditolak pada 8 Dis 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022.
Beliau kini menjalani hukuman penjara enam tahun yang dikurangkan selepas menerima pengampunan pada Januari 2024.