
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata inisiatif tahunan Kementerian Pengangkutan itu mungkin boleh dilaksanakan bagi perjalanan atau destinasi tertentu di Semenanjung.
“Kenapa FLYSiswa untuk Sabah dan Sarawak? Sebab kita semua maklum tiket penerbangan ke sana itu mahal, terutama ketika musim perayaan…jadi kita putuskan untuk bantu.
“Mengenai FLYSiswa di Semenanjung, saya akan bincang dengan menteri pengangkutan (Loke Siew Fook), mungkin untuk kawasan spesifik atau kawasan tertentu kita boleh bincangkan pelaksanaannya,” katanya menurut Bernama pada Program Temu Anwar Universiti Swasta Management and Science University (MSU), di Shah Alam.
Beliau menjawab pertanyaan seorang peserta mencadangkan kerajaan memperluas inisiatif FLYSiswa kepada pengangkutan darat untuk pelajar Semenanjung.
Inisiatif FLYSiwa adalah bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam, politeknik, dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi serta pelajar matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak, dan Labuan.
Sementara itu, Anwar berkata Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) sedang merangka program yang bersesuaian bagi mengembangkan Program Felo Perdana untuk membuka lebih banyak ruang kepada golongan muda menimba pengalaman daripada kepimpinan negara.
Perdana menteri berkata, kerajaan melihat program diperkenalkan 10 tahun lalu itu sebagai platform terbaik mahasiswa memahami hala tuju dan budaya kerja kerajaan di peringkat tertinggi, sekali gus mengelak mereka terpengaruh tuduhan tidak berasas mengenai kerajaan.
“Kita akan bincang supaya mereka yang tidak berpeluang menyertai program Felo Perdana, diberi ruang lain untuk bertemu dan belajar sesuatu dengan pimpinan kerajaan, menteri, dan timbalan menteri.
“Perkara ini sedang diuruskan oleh Akademi Kenegaraan (Malaysia) dan pihak lain yang berkaitan bagi membolehkan lebih ramai golongan belia menimba ilmu berkenan pentadbiran dan budaya kerja,” katanya.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata Program Felo Perdana merupakan platform terbaik golongan belia menerima pendedahan tentang hala tuju, gerak kerja, dan budaya kerajaan di peringkat tertinggi.
Perdana menteri berkata, beliau percaya program itu juga dapat membuatkan golongan bakal memimpin negara di masa akan datang lebih memahami dasar kerajaan.