Wanita hilang bantu siasatan kes AMLATFPUAA

Wanita hilang bantu siasatan kes AMLATFPUAA

Pemela Ling Yueh dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke SPRM untuk beri keterangan berhubung satu siasatan yang sedang dijalankan.

SPRM LOGO
SPRM minta semua pihak agar tidak buat spekulasi berhubung kehilangan Pamela Ling Yueh, yang membantu siasatan di bawah Akta SPRM dan AMLATFPUAA.
PETALING JAYA:
Wanita yang hilang dipercayai diculik dalam perjalanan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

Pamela Ling Yueh, 42, dilaporkan hilang sejak 9 Apr lalu, lalu membawa kepada siasatan polis.

“Ling diminta hadir ke ibu pejabat SPRM pada 9 Apr 2025 bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM dan AMLATFPUAA,” menurut kenyataan.

SPRM meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi serta tidak menyebarkan maklumat daripada sumber berita yang tidak sahih.

Terdahulu, polis memaklumkan ia telah mengambil keterangan daripada 12 saksi berhubung kes kehilangan Ling.

Mereka yang dirakam keterangan termasuk ahli keluarga, pegawai SPRM dan peguam mangsa bagi membantu siasatan, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa.

Ling dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke SPRM untuk memberi keterangan berhubung satu siasatan yang sedang dijalankan.

Polis menerima laporan berhubung kehilangan pada 3.02 petang hari yang sama.

Adik mangsa, Simon Ling Wan Siong, memaklumkan kakaknya menghantar pesanan WhatsApp kepada peguam pada 1.57 tengah hari, mengatakan dia dalam perjalanan ke Putrajaya, dan dijangka tiba pada 2.08 petang dengan menaiki kereta perkhidmatan e-panggilan.

Walaupun pelbagai cara dilakukan oleh keluarga dan peguam untuk menghubungi mangsa selepas 2 petang, panggilan telefon tidak dijawab.

Grab Malaysia mengesahkan perjalanan terbabit ditandakan sebagai selesai, tetapi tiada maklumat lanjut yang diperoleh selepas itu.

Polis dilaporkan tidak menerima sebarang laporan tuntutan wang tebusan berkait kehilangan wanita.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.