
Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata lelaki tempatan berusia 66 tahun itu melihat iklan pelaburan di laman sosial yang menawarkan pulangan tinggi dalam masa singkat.
Katanya, mangsa tertarik dengan iklan itu dan menekan pautan diberikan bagi mendapatkan maklumat lanjut dan ditawarkan keuntungan 200% daripada jumlah pelaburan dibuat dalam tempoh tiga bulan.
“Seterusnya, mangsa membuat pembayaran berjumlah RM1.8 juta ke beberapa akaun bank pada November 2024 hingga Januari lepas selain memuat turun aplikasi dan mendaftar akaun di aplikasi itu bagi memantau pelaburannya, seperti diarahkan suspek.
“Bagaimanapun, sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang pulangan atas pelaburannya dengan suspek memberikan pelbagai alasan. Mangsa percaya dia ditipu kerana suspek gagal dihubungi malah akses ke aplikasi terbabit juga turut disekat,” katanya dalam kenyataan menurut Bernama.
Kumar berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis dan kerugian dianggarkan berjumlah RM1.8 juta.
“Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda.
“Pada masa sama, polis Johor menasihati orang ramai lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan dalam talian menjanjikan pulangan menarik (dalam tempoh singkat),” katanya.