Pertaruhan berisiko jika Bung ‘poster boy’ BN, kata penganalisis

Pertaruhan berisiko jika Bung ‘poster boy’ BN, kata penganalisis

Penganalisis berkata Bung Moktar Radin dikaitkan dengan kegagalan percubaan menjatuhkan ketua menteri Sabah pada 2023.

Bung Moktar Radin
Penganalisis berpandangan cadangan menamakan Bung Moktar Radin sebagai ‘poster boy’ BN bagi PRN Sabah menarik tetapi berisiko.
PETALING JAYA:
Menamakan Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin, sebagai ‘poster boy’ Barisan Nasional pada PRN17 dilihat sebagai pertaruhan berisiko, kata penganalisis.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), menjelaskan bahawa Bung dikaitkan dengan kegagalan percubaan menjatuhkan Ketua Menteri Hajiji Noor pada 2023, maka ada kemungkinan wajahnya akan mempercepat kemerosotan Umno di Sabah.

Turut dipertimbangkan pendapat beberapa pihak bahawa gaya kepimpinan Bung yang tegas ‘dan kadangkala dianggap kasar’.

Beliau bagaimanapun akui cadangan Umno Sabah itu sememangnya menarik perhatian, menuju pilihan raya akan datang.

“Dari sudut strategi politik, pemilihan Bung sebagai wajah utama BN boleh menjadi pertaruhan yang berisiko,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Syahruddin Awang Ahmad juga dari UMS berkata penampilan Bung sebagai ‘poster boy’ harus digabung secara bijaksana dengan pendekatan kempen bersesuaian, supaya isu perbicaraan dan personaliti yang berlegar pada pemimpin Umno tersebut tidak membayangi BN.

“Sebagai contoh, slogan unik atau visi diperjuangkan oleh calon-calon atau penyandang kerusi DUN BN nanti adalah lebih menonjol berbanding ‘poster boy’ yang hakikatnya boleh dilihat dan dirasai secara tersurat sebagai pelengkap kepada kemeriahan perang poster,” katanya.

Umno Sabah dikatakan akan mencadangkan ketuanya sebagai ‘poster boy’ pada PRN, menurut Ketua Penerangannya, Suhaimi Nasir, walaupun Bung sebelum ini menjelaskan ia bukan keutamaan parti.

Suhaimi berkata, Umno Sabah melihat Bung paling layak diangkat wajah BN negeri itu berdasarkan kedudukannya sebagai orang nombor satu dalam gabungan tersebut.

Pengerusi BN, Zahid Hamidi, bagaimanapun berkata belum masanya untuk menentukan calon ‘poster boy’ kerana keutamaan adalah memastikan kemenangan calon BN.

Semalam, penganalisis berpandangan perbincangan dengan parti lain berhubung kerjasama menghadapi PRN akan terhenti jika BN menamakan ‘poster boy’ gabungan itu sekarang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.