
Saifuddin berkata tindakan tegas itu diambil kementerian bagi menangani jenayah rentas sempadan termasuk aktiviti penyeludupan, lapor Bernama.
Katanya, mesyuarat jawatankuasa pemantapan kawalan sempadan Nnegara yang dipengerusikannya sebelum ini mengambil tindakan memperketat pengawasan laluan sempadan sepanjang 103km itu.
“Tindakan penutupan pangkalan haram dan pelaksanaan pendekatan omnipresence oleh pasukan keselamatan berjaya mengurangkan kemasukan keluar masuk secara haram.
“Walaupun belum ada jumlah signifikan (jumlah individu keluar masuk sempadan), trend keluar masuk secara haram terkawal sejak larangan merentas sempadan negara menggunakan laluan haram berkuat kuasa pada Disember tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di Rantau Panjang di sini.
Saifuddin berkata jumlah kekuatan kawalan keselamatan telah dipertingkat dengan 819 anggota dikerahkan secara bergilir untuk operasi pemantauan dan serbuan di kawasan panas sempadan itu.
“Bila kita tutup pangkalan haram, buat pemeriksaan dan operasi secara konsisten, kita dapati bekalan dadah sedikit menurun, namun kita tidak boleh terlalu selesa kerana penyeludup mungkin mencari laluan alternatif,” katanya.
Saifuddin turut memaklumkan wujud trend baharu pendaratan dadah di kawasan Kuala Kedah dan Kuala Sanglang yang kini dikesan sebagai lokasi baharu bagi sindiket pengedaran, dipercayai susulan kawalan ketat di sempadan Kelantan.
“Saya dimaklumkan minggu lepas bahawa terdapat sedikit peningkatan pendaratan dadah di Kedah. Saya sedang siasat sama ada ia ada kaitan langsung dengan pengetatan kawalan di Kelantan.
“Oleh itu, saya kena semak dengan ketua polis Kedah (Fisol Salleh) sama ada disebabkan penutupan pangkalan haram di Kelantan menyebabkan mereka mengubah lokasi dengan menggunakan laluan di Kedah,” katanya.
Beliau berkata pemantauan rapi akan diteruskan termasuk terhadap kemungkinan wujudnya pangkalan haram baharu yang dibina semula selepas tindakan penutupan dilakukan.