
Mereka bimbang keadaan itu akan menjejaskan struktur bangunan dengan lebih teruk lagi sejak kejadian banjir besar melanda Selangor pada 2021.
“Setiap kali hujan, kami hidup dalam ketakutan,” kata bekas setiausaha Persatuan Penduduk Koi Prima, Yogendran Krishnan.
Katanya, walaupun banjir akan surut masalah penduduk tidak berakhir apabila ia turut merosakkan lif bangunan.
“Walaupun paras air naik kurang sekaki, lif akan rosak. Bayangkan ketidakselesaan dialami jika lif tidak dapat digunakan selama dua hari atau lebih,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Gugan Ravi, memberitahu FMT penduduk akan membunyikan penggera kebakaran apabila paras air mula naik.
Katanya, ia bagi memberi amaran supaya penduduk yang meletakkan kereta di tingkat bawah dapat mengalihkan kenderaan masing-masing.
Pasukan respons juga akan bertindak setiap kali banjir, untuk memberi peringatan kepada penduduk pada waktu malam jika paras air mula naik.
Gugan berkata, selepas banjir besar kali terakhir pada 2022, penduduk pada awalnya terpaksa menanggung kerugian RM3 juta untuk membaiki harta yang rosak walaupun selepas itu diberi pampasan insurans.
Katanya, banjir yang kerap berlaku juga menyebabkan segelintir penduduk terpaksa berpindah selain nilai hartanah menurun kepada separuh berbanding nilai jualan asal.