Sokongan MCA merosot kerana Umno angkuh, kata bekas naib presiden

Sokongan MCA merosot kerana Umno angkuh, kata bekas naib presiden

Ti Lian Ker berkata MCA yang bersama Umno turut dipersalahkan lalu binasa.

Hishamuddin Hussein
Aksi cium keris oleh Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Hussein, 10 tahun lalu salah satu daripada beberapa kejadian yang mendorong pengundi bukan Melayu kepada pembangkang, menurut bekas naib presiden MCA. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bekas naib presiden MCA berkata sokongan terhadap parti berasaskan Cina itu merosot selepas 2004, sebahagian besarnya disebabkan oleh keangkuhan yang dipamerkan Umno.

Ti Lian Ker berkata sokongan kepada BN terjejas berikutan kontroversi selepas ketua Pemuda Umno ketika itu, Hishamuddin Hussein, memegang keris pada mesyuarat agung tahunan parti pada 2005, aksi yang menurutnya mengecewakan masyarakat bukan Melayu.

Walaupun Hishammuddin kemudian memohon maaf atas telatah itu, Ti berkata penganalisis merujuk kepada peristiwa tersebut sebagai salah satu daripada beberapa kejadian yang mendorong orang bukan Melayu kepada pembangkang pada pilihan raya 2008.

Lima tahun sebelum itu, perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, menyamakan kumpulan pelobi, Suqiu, dengan ‘komunis dari masa lalu’ dan Al-Ma’unah, katanya.

Ti Lian Ker.
Ti Lian Ker.

Pada 2006, sekumpulan menteri bukan Islam terpaksa menarik balik memorandum menggesa perdana menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi, melindungi hak kelompok minoriti agama, yang menurut Ti meninggalkan rasa pahit di mulut masyarakat Cina yang beramai-ramai mengundi BN pada PRU sebelum itu.

Satu lagi peristiwa yang menjengkelkan masyarakat Cina ialah kata-kata yang menyakitkan hati yang ditujukan pada ahli perniagaan, Robert Kuok, pada 2018, susulan dakwaan bahawa beliau membiayai usaha DAP untuk menjatuhkan kerajaan BN, kata Ti.

Menurutnya, Nazri Aziz yang mencabar Kuok supaya pulang dari Hong Kong untuk bertanding PRU enggan memohon maaf kerana menggelar ahli perniagaan itu ‘pondan’.

“Masyarakat Cina tersinggung dengan kejadian-kejadian ini, terutama selepas MCA memujuk masyarakat Cina supaya menyokong Mahathir dalam perselisihannya dengan Tengku Razaleigh Hamzah, dan kemudian supaya menyokong Abdullah.

“Kami (MCA) yang bersama Umno turut dipersalahkan lalu binasa,” katanya.

Ti mengulas gesaan Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi kepada MCA agar merenung kenapa sokongan kaum Cina kepada parti itu merosot.

Puad bersimpati dengan MCA namun berkata prestasi buruk parti itu tiada kaitan dengan BN.

Puad menjawab Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon, yang dipetik Sin Chew Daily sebagai menggesa partinya mengawal masa depan sendiri jika BN terus berlengah membuat keputusan jelas mengenai hala tujunya.

Ti juga berkata ramalan bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin, pada 2018, bahawa Pakatan Harapan akan dapat menembus pada PRU ketika itu juga mempengaruhi masyarakat Cina untuk menyokong PH.

Beliau berkata Umno tidak seharusnya menutup mata pada fakta-fakta ini, dan mesti akui bahawa MCA tidak sepatutnya memikul semua kesalahan atas kemerosotan sokongan yang dialami, terutama selepas MCA tetap setia kepada BN ketika gabungan itu dilanda kontroversi, termasuk skandal 1MDB.

Ti merasakan kenyataan Puad tidak tepat dan kelihatan angkuh.

Beliau menjelaskan bahawa Chong sekadar bimbang melihat Umno terlalu condong kepada PH, khususnya DAP.

Menurutnya, tanggapan ketika ini sekalipun tidak benar ialah Umno telah berpaling tadah kepada DAP, yang juga boleh merugikan Umno.

“Umno tidak boleh terus ketepikan rakan sekomponen atau membiarkan mereka kebingungan kerana ini bermakna Umno telah berpaling tadah daripada BN kepada DAP, yang dalam jangka panjang boleh menamatkan hayat BN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.