Penyelesaian bagi pakar lepasan ‘parallel pathway’ pertengahan Mei, kata senator

Penyelesaian bagi pakar lepasan ‘parallel pathway’ pertengahan Mei, kata senator

Senator Dr RA Lingeshwaran kata Menteri Dzulkefly Ahmad beri jaminan dalam pertemuan dengan pengamal perubatan am dan jururawat.

RA Lingeshwaran Dr Dzulkefly Ahmad
Menteri Dzulkefly Ahmad bersama Senator Dr RA Lingeshwaran pada pertemuan di Pulau Pinang hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan beri jaminan kepada pakar lepasan ‘parallel pathway’ bahawa isu mereka yang mahu disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan akan selesai pertengahan bulan ini, menurut senator.

Senator Dr RA Lingeshwaran berkata Menteri Dzulkefly Ahmad beri komitmen pada batas waktu yang ditetapkan, susulan pertemuan mereka hari ini, bersama Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Pulau Pinang dan Kesatuan Jururawat Malaya.

“Kami tekankan bahawa perintah menteri untuk membolehkan beberapa ratus pakar yang mendapat kelayakan menerusi program ‘parallel pathway’ yang diluluskan dan ditaja kementerian, memandangkan khidmat mereka akan diperlukan di hospital awam,” katanya kepada FMT.

Lingeshwaran, yang juga bekas pengarah Hospital Sungai Bakap, berkata pindaan kepada Akta Perubatan, untuk mengiktiraf ijazah kepakaran ini dan memasukkan mereka dalam senarai Majlis Perubatan Malaysia (MMC), diluluskan dan diwartakan kira-kira enam bulan lalu.

Katanya, beliau juga memaklumkan kepada menteri bahawa sekumpulan pakar yang menyaman MMC telah mengarahkan peguam untuk mendapatkan perintah untuk memaksa majlis mendaftarkan mereka.

“Menteri bersetuju dengan kebimbangan kami dan beri komitmen bahawa ia akan diselesaikan pada pertengahan bulan ini. Rugi jika tidak mendaftarkan mereka apabila negara sangat memerlukan pakar,” katanya.

Lingeshwaran berkata beliau turut membincangkan arahan paparan harga untuk pengamal perubatan am (GP), dan mendapat jaminan daripada Dzulkefly bahawa tiada denda akan dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

“Beliau juga berjanji untuk meminda Jadual Ketujuh secepat mungkin bagi mengimbangi kos yang ditanggung oleh GP,” katanya.

Lingeshwaran menggesa pengamal swasta supaya tidak menggunakan sebarang bentuk tindakan yang boleh menjejaskan penjagaan kesihatan negara kerana pesakit mungkin berkerumun di hospital dan klinik kerajaan jika GP mogok.

“Kami berharap mereka akan menangguhkan semua pelan tindakan sehingga kementerian menyemak jadual yuran perundingan mereka yang menjadi kebimbangan utama dalam kalangan mereka.

Menteri berjanji untuk menyemak Jadual Ketujuh Akta Perubatan untuk menyelesaikannya tidak lama lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.