
Ketua Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, lokasi himpunan akan disahkan kemudian, namun ia akan dilakukan di Lembah Klang.
Katanya, pengumuman awal itu bertujuan memberi masa kepada kumpulan politik dan pertubuhan masyarakat sivil membuat persediaan.
“Kami menyeru semua parti, termasuk NGO, pelajar, dan individu berkaitan bersama dan mengambil pendirian tegas menolak rang undang-undang ini demi memastikan keadilan di bandar serta melindungi masa depan komuniti asal di bandar-bandar utama negara,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti.
Afnan berkata, semua Pemuda PAS bahagian telah diarah menyerahkan satu memorandum yang telah disediakan kepada Ahli Parlimen masing-masing, yang akan merangkumi 10 hingga 15 cadangan alternatif kepada rang undang-undang dicadangkan itu.
Pada 24 Mac, Afnan berkata sayap Pemuda tidak gentar dengan amaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap usaha menggagalkan PSB.
Sebelum ini, Anwar menggesa pihak pembangkang tidak menghalang rang undang-undang tersebut, yang menurutnya bertujuan memperbaiki kehidupan masyarakat Melayu bandar.
Afnan mengulangi penentangan kuat parti itu terhadap PSB, khususnya terhadap cadangan untuk menurunkan ambang persetujuan yang diperlukan untuk pembangunan semula en bloc, kerana ia boleh dieksploitasi oleh pemaju.
Bagaimanapun, beliau menafikan bahawa parti itu menentang sebarang bentuk pembaharuan bandar.
Beliau berkata rang undang-undang yang dicadangkan mesti mempunyai mekanisme yang ‘adil dan telus’ serta tidak sesekali mengorbankan hak penduduk asal.
Afnan juga menyeru parti Perikatan Nasional yang lain dan Muda, yang satu-satunya Ahli Parlimennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyertai PAS dalam perhimpunan itu.
Sementara itu, Afnan turut mengkritik lawatan ke flat bandar yang uzur yang dianjurkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming baru-baru ini.
Beliau berkata Ahli Parlimen PAS menolak untuk menyertai lawatan itu kerana mereka menganggapnya sebagai sebahagian daripada ‘optik politik’.
“Nga mahu kami melihat keadaan bangunan usang yang teruk. Sebelum ini banyak bangunan yang usang dan kerajaan boleh baiki bangunan itu, tiada masalah pun di peringkat negeri atau persekutuan.
“Adakah dengan melawat flat-flat usang ini boleh menjawab kenapa nak turunkan nilai ambang persetujuan? Kami merasakan lawatan ini macam satu optik politik sahaja dan tidak akan menjawab mengapa rakyat serta penduduk membantah PSB ini,” katanya.