Pamer harga ubat: Dzulkefly sedia terima memorandum kumpulan GP

Pamer harga ubat: Dzulkefly sedia terima memorandum kumpulan GP

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad kata beliau telah memperjuangkan hal terkait yang dituntut pengamal perubatan am.

Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad kata tiada tindakan drastik berhubung pemaparan harga ubat dalam tempoh pendekatan penguatkuasaan pendidikan.
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad sedia menerima memorandum daripada kumpulan pengamal perubatan am (GP) berhubung dasar mewajibkan pusat perubatan swasta mempamerkan harga ubat.

Dzulkefly berkata beliau menghormati hak mereka untuk menunjuk perasaan, dan berharap perarakan yang dikatakan pada Selasa berlaku secara baik.

“Saya bersedia menerima apa sahaja memorandum mereka,” katanya, lapor Astro Awani, pada sidang media di Kuala Selangor.

“Bagaimanapun mereka harus sedar bahawa saya telah perjuangkan hal terkait yang dituntut mereka.”

Dzulkefly menekankan tiada tindakan drastik berhubung pemaparan harga ubat dalam tempoh pendekatan penguatkuasaan pendidikan.

“Sebab itu ada pendekatan penguatkuasaan pendidikan secara berfasa selama tiga bulan, tindakan drastik tidak akan diambil ketika tempoh ini,” katanya.

Semalam, susulan satu pertemuan dengan Dzulkefly di Pulau Pinang, Senator Dr RA Lingeshwaran berkata menteri beri jaminan bahawa tiada denda akan dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Bekas pengarah Hospital Sungai Bakap itu, yang bertemu menteri bersama Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Pulau Pinang dan Kesatuan Jururawat Malaya, berkata Dzulkefly berjanji untuk meminda Jadual Ketujuh secepat mungkin bagi mengimbangi kos yang ditanggung oleh GP.

Sebelum ini, media melaporkan GP akan berarak dari Kementerian Kesihatan (KKM) ke Pejabat Perdana Menteri sebagai membantah dasar mewajibkan pusat perubatan swasta mempamerkan harga perubatan yang berkuat kuasa 1 Mei.

Protes dianjurkan oleh seksyen pengamal perubatan am Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), yang menuntut rundingan.

Terdahulu, MMA membidas kerajaan kerana menguatkuasa dasar mewajibkan pusat perubatan swasta mempamerkan harga perubatan tanpa menyelesaikan isu lama yang berlarutan, khususnya berkaitan yuran GP.

Presiden Dr Kalwinder Singh Khaira berkata keputusan itu yang digazetkan dengan hanya notis satu hari, bercanggah dengan komitmen yang dibuat Dzulkefly awal tahun ini.

KKM pada 30 Apr mengumumkan akan meneruskan langkah mewajibkan pemaparan harga ubat di pusat perubatan am — langkah yang dibantah keras MMA dan beberapa kumpulan perubatan lain.

Mereka berpendapat peraturan itu sepatutnya dikuat kuasa di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta dan bukannya Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.