Wanita dalam perjalanan ke SPRM didakwa hilang sejak 9 April

Wanita dalam perjalanan ke SPRM didakwa hilang sejak 9 April

Menurut adiknya, kenderaan e-panggilan dinaiki Pamela Ling dipintas oleh tiga kenderaan tidak dikenal pasti.

Pamela Ling Yueh
Keluarga Pamela Ling mendakwa, wanita itu dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya sebelum dia tidak lagi dapat dihubungi.
PETALING JAYA:
Seorang ibu tiga anak dilaporkan hilang sejak bulan lepas ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Pamela Ling, 42, dalam perjalanan berjumpa pegawai agensi antirasuah itu untuk memberikan kenyataan berkaitan suatu siasatan pada 9 April apabila dia didakwa diculik, dakwa adiknya, Simon.

Simon berkata, keluarga mereka difahamkan bahawa kenderaan e-panggilan yang dinaiki Pamela pada hari itu dipintas oleh tiga kenderaan tidak dikenal pasti.

Dia kemudian diarahkan menaiki salah satu kenderaan itu, menurut Simon.

“Tiada lagi khabar berita daripada Pamela sejak tengah hari itu. Sudah lebih 20 hari dia hilang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, panggilan dan mesej yang dihantar oleh keluarga dan peguamnya berulang kali kepada Pamela selepas 2 petang hari itu tidak dijawab.

“Kami bimbangkan keselamatannya. Keadaan berkait kehilangan Pamela sangat luar biasa dan perlu disiasat,” katanya.

Keluarga itu membuat laporan polis dan berkata mereka dimaklumkan bahawa polis telah memulakan siasatan berhubung penculikan.

FMT telah menghubungi polis Putrajaya untuk mendapatkan komen.

Simon menggesa polis untuk memperhebat usaha mereka mengejar semua petunjuk yang penting, memandangkan masa itu penting.

Beliau turut menggesa orang ramai yang mungkin mempunyai maklumat berhubung perkara itu supaya tampil membantu mengesan Pamela.

Simon berkata, Pamela terakhir diketahui menetap di sebuah pangsapuri di Sunway Velocity, Cheras, Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.