
Syarikat minyak negara itu memberitahu Bernama, PCSB diberi kuasa mengikut undang-undang bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 untuk menjalankan kegiatan syarikat dan mematuhi semua undang-undang yang terpakai dalam berbuat demikian.
“Meskipun kita menghormati aspirasi negeri Sarawak, Petronas juga mempunyai kewajipan untuk menegakkan PDA 1974 ini dan menjaga kepentingan negara,” katanya.
“Petronas akan terus terlibat secara konstruktif dan bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan, kerajaan Sarawak dan Petros dalam meneroka pengaturan masa depan untuk memastikan kejelasan peraturan dan kesinambungan operasi untuk manfaat industri, negeri dan negara secara keseluruhannya.”
Petronas menekankan ia komited untuk memastikan hak dan kepentingan semua pihak, termasuk pengguna akhir dan pelabur, ditangani dengan sewajarnya.