
Menterinya, Johari Abdul Ghani berkata, meskipun AS bukan pembeli terbesar produk sawit Malaysia, namun eksport ke negara itu tetap signifikan dan bernilai strategik.
“Kita telah menyalurkan semua fakta dan maklumat kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) untuk digunakan dalam rundingan akan datang.
“Contohnya, bagi kelapa sawit, walaupun AS bukan pembeli utama, kita masih mengeksport hampir RM4.9 bilion setahun ke sana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malam Gala Jubli Perak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Beliau berkata, pasaran eksport terbesar bagi sawit Malaysia ketika ini ialah Eropah, India dan China, yang secara kolektif menyumbang lebih 40% jumlah eksport.
“Kita tidak boleh ketepikan AS, kerana selain sawit, kita juga mengeksport komoditi lain seperti sarung tangan getah – lebih RM8 bilion setahun, produk kayu (bernilai) hampir RM6.5 bilion, dan koko hampir RM1.6 bilion.
“Jumlah keseluruhan eksport komoditi kita ke AS sahaja sekitar RM20 bilion hingga RM21 bilion,” katanya.
Johari berkata, angka itu menunjukkan rundingan tersebut amat penting bagi sektor komoditi negara, yang mencatatkan jumlah keseluruhan eksport sekitar RM186 bilion setahun ke seluruh dunia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pada masa ini produk sawit Malaysia dikenakan tarif AS sebanyak 10% dan ditambah 24%, manakala Indonesia dikenakan 10% ditambah 32%.
“Kita ada sedikit kelebihan berbanding Indonesia, tetapi kelebihan ini bukan bermakna kita boleh leka. Kita juga perlu terus memperkukuh hubungan perdagangan dengan negara lain,” katanya.
Beliau berkata, usaha penglibatan dan diplomasi dengan pembeli utama di seluruh dunia perlu diteruskan memandangkan permintaan dan kapasiti pasaran yang besar di luar AS.
Pada 29 April, Miti mengumumkan pelantikan Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Mastura Ahmad Mustafa sebagai ketua perunding Malaysia untuk rundingan tarif rasmi akan datang dengan AS.
Menterinya, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, AS juga menamakan seorang daripada kalangan penolong wakil perdagangan Amerika Syarikat (USTR) untuk mengetuai rundingan itu.
Beliau berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan perbincangan selepas Jemaah Menteri memberikan kelulusan.
Antara bidang tumpuan utama adalah mengurangkan tarif dan menyelesaikan halangan bukan tarif – terutama dalam pertanian – dengan lebihan perdagangan Malaysia dengan AS kini berjumlah USD25 bilion, katanya kepada pemberita semasa majlis rumah terbuka Miti Khamis lepas.