Kumpulan pekilang cadang rangka pelan penginapan pekerja

Kumpulan pekilang cadang rangka pelan penginapan pekerja

Kekurangan penginapan pekerja berpusat dan penginapan pekerja jangka pendek jejas kebajikan pekerja serta pematuhan majikan.

rumah pekerja
FMM mahu suatu pelan tindakan mengenai kuarters buruh.
PETALING JAYA:
Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) mencadangkan kerajaan merangka suatu pelan tindakan mengenai kuarters buruh, bagi menangani kekurangan penginapan pekerja khususnya di kawasan industri utama dan hab logistik.

Presiden Soh Thian Lai berkata kekurangan ‘penginapan pekerja berpusat’ (CLQ) dan ‘penginapan pekerja jangka pendek’ (TLQ) menjejaskan kebajikan pekerja, serta pematuhan majikan pada Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja.

Katanya lagi, majikan yang sering berdepan kelewatan dalam mendapatkan kelulusan pembangunan serta melalui proses birokrasi menyukarkan penyediaan tempat tinggal selamat dan teratur untuk pekerja.

Sehubungan itu, FMM mencadangkan tiga langkah utama di bawah pelan tindakan berkenaan, iaitu mempercepat kelulusan pembangunan CLQ dan TLQ, pemberian insentif khusus kepada majikan dan pemaju untuk membina atau menaik taraf penginapan yang sesuai, serta model perkongsian awam–swasta yang selaras strategi pembangunan tempatan.

“Langkah ini penting untuk memastikan perumahan pekerja berkembang seiring dengan pertumbuhan industri,” katanya, lapor Bernama.

FMM mencadangkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Sumber Manusia, dan pihak berkuasa tempatan bersama melaksanakan pelan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.