
Ketua Penerangan Suhaimi Nasir berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah mempunyai ruang menentukan rakan politik, dengan berpandu pada kuasa autonomi.

“Apa pun keputusan Umno Sabah, tiada pula yang cuba menyangkal di peringkat pusat, sampai hari ini belum ada gangguan apa-apa. Kuasa autonomi memutuskan Sabah yang menentukan segalanya,” katanya pada sidang media.
“Baru-baru ini kita (negeri dan pusat) berbincang. Memang apa pun keputusan kita adalah muktamad tetapi dimaklumkan kepada presiden parti.”
Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran menjelaskan bahawa pusat berperanan sebagai penasihat kepada pimpinan negeri dalam beberapa isu berbangkit.
Beliau merujuk saranan pusat supaya kerjasama di Sabah selari dengan peringkat persekutuan bagi mengelakkan ketidaktentuan politik.
“Mereka nasihati, kuncinya adalah BN-Pakatan Harapan supaya ada persefahaman di negeri dan pusat.
“Kita tak mahulah sewaktu berkempen nanti, timbalan perdana menteri (Presiden Umno Zahid Hamidi) kempen sebelah sini, perdana menteri (pengerusi PH Anwar Ibrahim) kempen sebelah sana,” katanya.
Keperluan MoU antara rakan politik
Suhaimi berkata Umno melihat terdapat keperluan mendesak untuk mana-mana gabungan yang mahu bekerjasama dengan BN menandatangani suatu perjanjian kerjasama bagi mengelakkan ‘episod tikam belakang’ berulang.
“Jadi untuk PRN17 ini, antara rakan gabungan mesti ada persefahaman termasuk apakah ‘wishlist’ setiap parti,” katanya.
Usaha itu juga bagi mengelakkan ‘lompat parti’ yang menurutnya sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan ahli politik di Sabah.
“Lebih baik kita jalan berdepan dengan musuh di depan daripada kita berjalan bersama tetapi ada musuh dari belakang.”
Menurutnya, intipati perjanjian akan dibincangkan secara lanjut oleh kepimpinan parti negeri untuk diketengahkan di meja rundingan bersama PH.
“Kita pasti segala permintaan setiap parti akan diperhalusi sebaiknya dan dimuktamad tidak lama lagi,” katanya.
Beliau menambah perbincangan tidak rasmi antara kedua gabungan ketika ini ‘amat positif’.