Ketua PKR Selayang, Jempol, Pasir Salak berubah dalam pemilihan semula

Ketua PKR Selayang, Jempol, Pasir Salak berubah dalam pemilihan semula

Romansa Lamin berjaya mempertahankan jawatan ketua PKR Silam yang dimenanginya 21 April lalu.

Chua Wei Kiat dan G Manivanan menang jawatan ketua PKR Selayang serta Jempol dalam pemilihan semula bahagian semalam.
PETALING JAYA:
Jawatan ketua PKR Selayang, Jempol dan Pasir Salak mengalami perubahan susulan pemilihan semula tiga bahagian itu semalam.

Keputusan rasmi di laman sesawang pemilihan parti itu menunjukkan jawatan ketua PKR Selayang dimenangi Timbalan Ketua Penerangan PKR yang juga Adun Rawang, Chua Wei Kiat.

Chua menang dengan 1,945 undi, menewaskan pencabar Wan Ibnul Bahar Wan Ismail yang meraih 1,693 undi.

Pada pemilihan bahagian 12 April lalu, Chua mendapat 1,648 undi, tewas kepada Kamarudin Hussain yang memperoleh 2,041 undi.

Dua hari kemudian, Chua dilaporkan berkata, beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Keputusan semalam disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Dr Zaliha Mustafa.

Pada 26 April lalu, Zaliha mengumumkan bahagian Jempol, Selayang, Silam dan Semporna akan mengadakan pemilihan semula susulan bantahan calon yang kalah.

Sementara itu, G Manivanan memenangi jawatan ketua PKR Jempol dengan 571 undi berbanding pencabar, Asri Abdullah (229 undi) dan K Mariappan (39 undi).

Jawatan ketua PKR Pasir Salak pula dimenangi Hisamuddin Ali dengan 944 undi berbanding pencabar Mohd Maharani Md Tasi yang mendapat 677 undi.

Romansa Lamin berjaya mempertahankan jawatan ketua PKR Silam yang dimenanginya 21 April lalu.

Kali ini, beliau mendapat 566 undi, mengetepikan pencabar Rubiah Onga (483 undi) dan Syafiq Iqhmal Saharudin (empat undi).

Pemilihan semula PKR Semporna hanya untuk ahli jawatankuasanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.