
Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, CIMB Group berkata, CIMB Bank telah memajak 24 hartanah daripada KWSP bawah perjanjian pajakan bertarikh 30 Dis 2009, yang akan tamat pada 30 Jun 2025.
“Pada 30 April 2025, CIMB Bank memeterai 16 perjanjian jual beli (SPA) untuk memperoleh 16 daripada 24 hartanah ini daripada KWSP, yang kini digunakan oleh CIMB Bank untuk perniagaan perbankannya.
“Dengan ini, CIMB Bank telah menamatkan perjanjian pajakan dengan KWSP,” katanya.
CIMB Group berkata, transaksi itu akan menyokong strategi CIMB Bank dan mencapai peningkatan keuntungan dan kerugian yang menggalakkan tahun ini.
Selain transaksi itu, CIMB Group berkata, CIMB Bank juga bersetuju membeli semula lapan hartanah yang tinggal pada harga yang ditetapkan berdasarkan penilaian yang diberikan oleh penilai bebas sekiranya KWSP tidak dapat menjualnya kepada pihak ketiga.
“Obligasi untuk membeli semula hartanah yang tidak terjual oleh CIMB Bank adalah selaras dengan terma-terma perjanjian pajakan,” tambahnya.
Tanpa sebarang keadaan di luar jangka, transaksi itu akan diselesaikan antara suku keempat 2025 dan suku pertama 2026.