
Menurut syarikat e-panggilan global itu pihaknya secara proaktif sudah menghubungi agensi berkaitan untuk memahami keadaan dengan lebih baik dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kesinambungan perkhidmatannya di Malaysia.,
“Kami komited untuk menyediakan penyelesaian mobiliti yang selamat, boleh dipercayai dan boleh diakses kepada puluhan ribu pengguna di seluruh Malaysia yang menggunakan platform ini setiap hari.
“Sebagai platform perkhidmatan bandar dan mobiliti global, InDrive beroperasi dengan memberi penghormatan tertinggi terhadap undang-undang, peraturan tempatan dan komuniti.
“Kami akan memberikan maklumat terkini apabila kami menerima penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.
Apad dilapor memberi tempoh tiga bulan kepada InDrive untuk memulangkan lesen perniagaan pengantaraan (IBL) selepas syarikat itu gagal mematuhi peraturan yang diperkenalkan pada 2019.
Tindakan terhadap InDrive itu merupakan notis penamatan kedua yang dikeluarkan ke atas perkhidmatan e-panggilan dari Rusia selepas Maxim pada 2023.