3 ditahan lombong bijih besi secara haram di Rompin

3 ditahan lombong bijih besi secara haram di Rompin

Tiga ditahan termasuk dua warga Bangladesh tiada dokumen pengenalan diri sah dan seorang lelaki tempatan yang juga pemilik lombong.

jentolak lombong bijih
Antara jentera digunakan untuk melombong bijih besi secara haram di Sungai Ganoh yang dirampas pihak berkuasa. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Tiga lelaki termasuk dua warga Bangladesh ditahan kerana disyaki melombong bijih besi secara haram di Sungai Ganoh, Hutan Simpan Bukit Ibam Muadzam Shah, Rompin, Selasa lalu.

Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara memaklumkan mereka ditahan petugas Batalion 7 PGA dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan Pahang (UPNP) dalam Op Bersepadu Khazanah pada 3 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati kegiatan melombong dilakukan dua lelaki Bangladesh dan pemilik lombong yang merupakan lelaki tempatan gagal menunjukkan lesen perlombongan bijih besi sah.

“Warga Bangladesh itu juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata, suspek yang ditahan berumur 40 hingga 50 tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 159 dan 137(a) Akta Enakmen Mineral Negeri 2001, Seksyen 55B serta 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Peralatan serta jentera digunakan untuk melombong dianggarkan bernilai RM1.25 juta turut dirampas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.