Sarawak mula penilaian DLP standard Cambridge Oktober ini

Sarawak mula penilaian DLP standard Cambridge Oktober ini

Premier Sarawak berkata Kementerian Pendidikan telah memberi kebenaran kepada negeri itu bekerjasama dengan Universiti Cambridge laksana DLP bagi murid Tahun Enam.

abang johari openg
Premier Sarawak Abang Johari Openg (tengah) menyaksikan majlis menandatangani kontrak perkhidmatan antara Cambridge University Press and Assessment serta Swinburne Innovation Malaysia di Cambridge, United Kingdom semalam. (Gambar Pejabat Premier Sarawak)
KUCHING:
Kerajaan Sarawak akan melaksanakan penilaian standard bagi program dwibahasa (DLP) mengikut piawaian antarabangsa Cambridge University Press and Assessment (CUP&A) untuk murid Tahun Enam di sekolah rendah negeri itu mulai Oktober ini.

Premier Sarawak, Abang Johari Openg, berkata Kementerian Pendidikan telah memberi kebenaran kepada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) untuk bekerjasama dengan Universiti Cambridge bagi pelaksanaan program itu.

“Program DLP ini akan disemak dan ditentusahkan CUP&A bagi memastikan pelaksanaannya selaras piawaian antarabangsa,” katanya dalam satu Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak perkhidmatan antara CUP&A dan Swinburne Innovation Malaysia (SWIM) di Cambridge, United Kingdom, semalam, antara acara dalam siri lawatannya ke negara itu bermula Selasa lalu.

Pada majlis itu, CUP&A diwakili Pengarah Urusan Partnership for Education Jane Mann, manakala SWIM diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, George Ngui.

Abang Johari berkata, pelaksanaan program itu melibatkan penggunaan Bahasa Melayu berdasarkan sukatan pelajaran kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai medium penilaian kedua mengikut sukatan antarabangsa yang disediakan Cambridge.

Menurutnya, Universiti Swinburne yang merupakan rakan strategik akan bekerjasama dengan Cambridge dalam pelaksanaan penilaian di Sarawak dan mempunyai kedudukan dalam penarafan universiti antarabangsa.

“Usaha ini bertujuan melahirkan pelajar yang menguasai kedua-dua bahasa, sekali gus membolehkan mereka melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).”

Beliau berkata, MEITD turut bekerjasama dengan Universiti Cambridge dalam melaksanakan pelbagai program dwibahasa berstandard tinggi, termasuk dari segi pendidikan dan biasiswa, bagi membuka ruang kepada pelajar Sarawak melanjutkan pengajian dalam bidang ekonomi strategik baharu.

Katanya, kedua-dua pihak juga bersetuju menempatkan pelajar Sarawak berkelayakan dalam sistem sekolah antarabangsa ke institusi terkemuka dunia seperti Universiti Cambridge, Oxford dan London School of Economics di UK serta Harvard di Amerika Syarikat.

“Sarawak menyasarkan kuota khas sebanyak 10 tempat untuk pelajar cemerlang dalam bidang yang dikenal pasti.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.