Sarawak akan lancar pelan tindakan kelestarian alam

Sarawak akan lancar pelan tindakan kelestarian alam

Pelan itu dilancarkan akhir bulan ini satu hala tuju strategik peralihan kepada ekonomi hijau menjelang 2030.

solar farm
Pelan Tindakan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak 2030 menampilkan 10 teras strategik, 48 strategi dan 111 pelan tindakan menyasarkan pembangunan kapasiti tenaga boleh diperbaharui. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pelan Tindakan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak 2030 akan dilancarkan oleh Premier Abang Johari Openg pada akhir bulan ini.

Unit Komunikasi Awam Sarawak berkata pelan itu berfungsi sebagai hala tuju strategik bagi peralihan ekonomi negeri itu kepada ekonomi hijau.

Katanya, pelan itu menampilkan 10 teras strategik, 48 strategi dan 111 pelan tindakan yang menyasarkan pembangunan kapasiti tenaga boleh diperbaharui 10 gigawatt serta 70% campuran tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030.

“Dimuktamadkan baru-baru ini oleh Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, pelan tindakan itu adalah perkara utama dalam perbincangan pada sesi meja bulat peringkat tinggi yang berlangsung hari ini di London School of Economics and Political Science (LSE).

“Sesi itu, yang diterajui premier Sarawak bersama delegasinya, menghimpunkan para sarjana dan pakar bagi meneroka strategi kelestarian serta pembangunan hijau,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Bernama.

Katanya, sesi itu adalah langkah penting dalam memperkukuh kerjasama akademik-dasar terutama dalam bidang pertumbuhan lestari dan daya tahan iklim.

“Dialog di LSE menekankan pertukaran perkongsian dan pengetahuan bagi memajukan cita-cita kelestarian negeri dengan komitmen bersama bagi mengimbangi pertumbuhan ekonomi, perlindungan alam sekitar dan penglibatan sosial,” katanya.

Acara itu adalah sebahagian daripada lawatan rasmi Abang Johari ke United Kingdom, yang bermula pada Selasa.

Kenyataan itu memaklumkan LSE turut menzahirkan hasrat terhadap potensi kerjasama dengan Sarawak merentasi pelbagai bidang seperti konservasi hutan, perkhidmatan kewangan, pendidikan dan perubahan iklim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.