
Kebanyakannya yang berpakaian hitam, putih dan merah, mula berhimpun sekitar 9.30 pagi sebelum berarak menuju ke Dataran Merdeka.
Sepanjang perarakan juga mereka turut melaungkan slogan seperti ‘Belia mahukan latihan bergaji’ dan ‘Gaji untuk hidup, bukan untuk berlapar’,sambil memegang sepanduk menuntut layanan adil kepada pekerja.
Majlis itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Satu Mei, sebuah gabungan yang merangkumi parti politik seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Muda, serta kumpulan pelajar, NGO, dan pertubuhan masyarakat sivil.
Perhimpunan itu membawa tema: ‘Pekerja adalah tonggak negara: Naikkan gaji, bukan bebanan.’
Antara tuntutan utama yang disuarakan peserta ialah kenaikan gaji minimum negara kepada RM2,000 dan pelaksanaan dasar perumahan mampu milik yang komprehensif.
Ahli Jawatankuasa muda PSM Aiman Farihah Shukri menggesa kerajaan tidak terus menggubal dasar yang ‘pro-kapitalis’, sebaliknya memperkenalkan dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau turut menggesa agar kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000, dengan menyatakan jumlah itu berdasarkan formula yang ditetapkan sendiri oleh kerajaan.
Sementara itu, penyelaras Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram), Alyaah Hani Anuar, menyeru kerajaan memastikan pelatih industri di syarikat-syarikat diberikan elaun sekurang-kurangnya RM1,700 sebulan.
“Ramai pelatih industri dilayan seperti buruh percuma dan isu ini bukan sesuatu yang baharu. Bagaimana mereka mahu menyara hidup di Kuala Lumpur jika tidak dibayar gaji?” katanya.
Pengerusi Gerakan Badan Bertindak Sahabat E-Hailing Malaysia, Zulkifli Othman, pula berkata kadar bayaran semasa sekitar RM6 sejam adalah tidak mencukupi untuk pemandu e-panggilan menampung kos sara hidup serta membayar perlindungan insurans sekiranya berlaku kemalangan jalan raya.
Himpunan tersebut berakhir secara aman sekitar jam 12.40 tengah hari.