Tak patuh akta, BNM denda Merchantrade Asia, JAGS Money RM35,000

Tak patuh akta, BNM denda Merchantrade Asia, JAGS Money RM35,000

Merchantrade Asia dikenakan AMP sebanyak RM29,000 manakala JAGS Money RM6,000.

merchantrade asia
BNM denda Merchantrade Asia atas kelalaian dalam prosedur saringan sekatan serta kelemahan dalam mengemas kini pangkalan data sekatan selepas penerbitan Senarai Domestik. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan denda sejumlah RM35,000 dalam bentuk penalti monetari pentadbiran (AMP) ke atas Merchantrade Asia Sdn Bhd dan JAGS Money Sdn Bhd.

Bank pusat itu berkata, Merchantrade Asia dikenakan AMP sebanyak RM29,000 manakala JAGS Money RM6,000 atas ketidakpatuhan terhadap Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011.

“Ketidakpatuhan tersebut disebabkan oleh kelalaian Merchantrade Asia dalam prosedur saringan sekatan serta kelemahan dalam mengemas kini pangkalan data sekatan mereka selepas penerbitan Senarai Domestik,” kata BNM dalam kenyataan.

Merchantrade Asia sebagai institusi pelapor dikehendaki menjalankan saringan sekatan ke atas pelanggan sedia ada, berpotensi atau baharu berdasarkan Senarai Domestik.

Selain itu, saringan turut dikehendaki dijalankan ke atas Senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR) sebagai sebahagian proses usaha wajar pelanggan dan usaha wajar yang berterusan.

Ia juga perlu memastikan kemungkinan padanan dengan Senarai UNSCR atau Senarai Domestik iaitu padanan sebenar bagi mengelakkan padanan palsu.

“Sebagai tindak balas, Merchantrade memperkukuh prosesnya dengan melanggan perkhidmatan pangkalan data komersial bagi memastikan ia menerima kemas kini senarai sekatan dengan segera.

“Selain itu, ia perlu memastikan kakitangan dan ejen diberikan latihan di tempat kerja secara berkala bagi meningkatkan pematuhan,” kata BNM.

Sementara itu, jelas BNM, ketidakpatuhan JAGS Money berpunca daripada kegagalan mengemas kini sekatan pangkalan data dengan segera selepas penerbitan Senarai Domestik serta kegagalan menjalankan saringan sekatan ke atas pelanggan baharu berdasarkan Senarai Domestik.

“JAGS membayar sejumlah RM6,000 bagi AMP yang dikenakan oleh BNM pada 17 Mac,” kata bank pusat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.