
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, cadangan pindaan akta itu bagi membolehkan pelaksanaannya akan dibawa ke Jawatankuasa Khas Jemaah Menteri Tatakelola Nasional yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
“DPA undang-undang yang digunakan banyak negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom bagi menyelesaikan kes penyelewengan melibatkan entiti atau institusi perniagaan yang besar,” katanya.
“Melalui DPA, entiti atau institusi perniagaan terlibat (tertuduh) perlu mematuhi beberapa perkara, antaranya melibatkan pemulangan semula wang atau aset yang diseleweng, membayar penalti atau denda dikenakan, selain perlu mematuhi syarat dikenakan kepadanya oleh pihak penguat kuasa dan Pejabat Peguam Negara.”
Beliau berkata demikian semasa Executive Talk bersama pengurusan tertinggi media di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.
Azam berkata, pelaksanaan DPA dapat menjimatkan kos dan proses mahkamah yang panjang, namun bukan bermakna tiada pendakwaan akan dikenakan terhadap tertuduh.
“Pendakwaan tetap ada, tetapi ditangguhkan. DPA hanya akan digunakan bagi kes melibatkan penyelewengan, bukan kes-kes rasuah dengan jumlah yang kecil,” katanya.
“Keputusan menggunakan DPA ini juga bukan keputusan sebelah pihak, ia memerlukan persetujuan bersama (pendakwa dan tertuduh). Pendakwa raya mesti bersetuju dan menilai justifikasi mengapa kes berkenaan boleh diberikan DPA.”
Mengulas lanjut, Azam berkata, aset yang dirampas, denda atau penalti yang dikenakan terhadap entiti yang ditawarkan DPA akan dimasukkan dalam kantung negara dan dimiliknegarakan.