Papar harga tangani dakwaan ubat mahal, kata Ahli Parlimen

Papar harga tangani dakwaan ubat mahal, kata Ahli Parlimen

Wakil rakyat Bayan Baru, Sim Tze Tzin, kata memaparkan harga akan tangani dakwaan harga ubat di hospital swasta tinggi berbanding di farmasi.

Persekutuan Persatuan Doktor Perubatan Swasta Malaysia sebelum ini persoal rasional membenarkan KPDN mewajibkan paparan harga ubat di klinik perubatan am.
PETALING JAYA:
Seorang wakil rakyat percaya dasar mewajibkan paparan harga ubat di klinik perubatan am bermula esok akan menangani dakwaan harga ubat tinggi.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, percaya ramai pihak maklum akan dakwaan harga ubat di hospital swasta tinggi berbanding di farmasi.

“Pemaparan harga ubat itu akan memberi pilihan kepada pesakit untuk mereka membeli ubat di hospital atau beli di luar,” katanya kepada FMT.

Sim, yang juga ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang sedang membuat prosiding berkaitan kenaikan cas hospital swasta, berkata mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan dasar itu perlu mengadakan perbincangan dengan KPDN.

Katanya, langkah itu lebih baik bagi mencari penyelesaian tuntas berbanding hanya membantah dasar yang akan dilaksanakan kerajaan itu.

Persekutuan Persatuan Doktor Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) pada 16 Apr mempersoalkan rasional membenarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mewajibkan paparan harga ubat di klinik perubatan am.

Kumpulan itu menjelaskan ubat-ubatan bukan barangan runcit yang stabil hayatnya, dengan harga dipengaruhi oleh budi bicara klinikal, faktor khusus pesakit dan kos pembekal yang semakin meningkat — yang akan diburukkan lagi oleh kenaikan tarif ke atas farmaseutikal yang diimport baru-baru ini, diagnostik dan bahan guna perubatan.

KPDN bagaimanapun membidas doktor swasta yang mempersoalkan rasional mewajibkan paparan harga ubat di klinik perubatan am.

Menteri Armizan Mohd Ali berkata paparan harga ubat tidak menghalang klinik atau farmasi mengubah harga mengikut keadaan tertentu.

Katanya lagi, semua jenis barangan termasuk emas dipaparkan harga maka FPMPAM digesa kemuka alasan kukuh yang membolehkan pengecualian dibuat terhadap produk ubat-ubatan.

Tegasnya, KPDN yang memantau pergerakan harga barangan setiap hari bukan mahu mengawal harga, hanya mahu pihak klinik dan farmasi memaparkan harga ubat di premis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.