
Perkara itu diumumkan dalam Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali yang menyusul selepas pelaksanaan dipersoal MMA awal hari ini.
Dalam kenyataan bersama, Dzulkefly dan Armizan berkata Kementerian Kesihatan akan menguatkuasakan arahan itu dengan panduan serta kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
“Langkah ini bertujuan memastikan rakyat dapat membuat pilihan yang bijak, membuat perbandingan, dan memilih harga terbaik dalam merancang perbelanjaan untuk ubat-ubatan,” katanya.
Mereka menambah pihak berkuasa akan memberi kelonggaran sepanjang tiga bulan pertama pelaksanaan peraturan baharu ini bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik kemudahan perubatan swasta, bukannya terus mengenakan hukuman.
Kedua-dua kementerian turut mengeluarkan dokumen Soalan Lazim (FAQ) mengenai dasar baharu ini yang boleh diakses di sini.
Awal hari ini, MMA mendakwa dasar mewajibkan paparan harga ubat di klinik perubatan am yang sepatutnya bermula esok belum lagi muktamad.
Presidennya Dr Kalwinder Singh Khaira berkata ini kerana belum ada pewartaan rasmi diterbitkan oleh kerajaan walaupun risalah soalan sering ditanya (FAQ) diberikan semasa sesi advokasi, Februari lalu.
Sebelum ini, MMA dan beberapa kumpulan lain yang mewakili doktor telah membantah keperluan baharu itu kerana dilaksanakan di bawah akta bukan perubatan.
Mereka berpendapat peraturan itu sepatutnya dikuat kuasa di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 dan bukannya Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011.