Kebakaran paip gas: RM46 juta kerja baik pulih rumah, infrastruktur rosak

Kebakaran paip gas: RM46 juta kerja baik pulih rumah, infrastruktur rosak

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Kabinet lulus RM40 juta bagi kerja baik pulih manakala kementeriannya dan MBSJ tambah RM6 juta.

Massive gas pipeline fire
Paip gas milik Petronas meletup sekitar 8.10 pagi, 1 April, yang mengakibatkan letusan api menjulang lebih 30m. (Gambar EPA Images)
SHAH ALAM:
Kerajaan menyalurkan peruntukan keseluruhan RM46 juta bagi kerja pembaikan kediaman susulan insiden kebakaran saluran paip gas, di Putra Heights, awal bulan ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, berkata dana RM40 juta telah diluluskan Jemaah Menteri, dengan tambahan RM6 juta lagi disalurkan oleh kementeriannya bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Katanya, dana disediakan itu bagi pembaikan infrastruktur awam yang rosak.

“Maka, RM46 juta telah diperuntukan untuk membantu mangsa-mangsa kebakaran,” katanya pada sidang media bersama Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Nga berkata, tiga kategori kerja baik pulih dan pembinaan semula termasuk had siling maksimum RM300,000 bagi rumah mengalami kerosakan lebih 40% dan memerlukan pembinaan semula.

“Manakala, rumah-rumah mengalami kerosakan bawah 40% kos siling ditetapkan RM150,000. Seterusnya 57 rumah tidak mengalami kerosakan struktur dan hanya perlu pembaikan kecil pula ditetapkan kos siling RM30,000,” katanya.

Beliau berkata, kerja pembinaan semula oleh Sime Darby Property Bhd dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan bermula esok.

“Tempoh keseluruhan yang diperuntukkan bagi kerja-kerja pembinaan ini adalah selama 24 bulan mengikut Akta 118. Namun, saya secara peribadi telah meminta mereka untuk mempercepat proses pembinaan daripada tempoh maksimum,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata siasatan polis berhubung insiden tersebut telah selesai dengan laporannya akan dibentang minggu depan.

Laporan teknikal oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pula dijangka muktamad dalam tempoh sebulan. Beliau memaklumkan ia akan dibentangkan ke Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Kerajaan negeri juga akan menubuhkan jawatankuasa panel bebas bagi menilai dapatan laporan tersebut serta memberi cadangan bagi mengelakkan mahupun mengurangkan potensi insiden sama daripada berulang,” katanya.

Sebelum ini, insiden tersebut dilaporkan menyebabkan sebanyak 219 rumah terjejas termasuk 81 rumah yang mengalami kerosakan struktur melebihi 40% dan 138 yang mengalami kerosakan kurang daripada 40%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.