Kerajaan digesa lindungi sumber O&G Malaysia di Laut China Selatan

Kerajaan digesa lindungi sumber O&G Malaysia di Laut China Selatan

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Saifuddin Abdullah dari Bersatu berkata gangguan asing menggugat kedaulatan tenaga Malaysia tidak boleh dipandang ringan.

oil rig petronas
Pada September 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia meneruskan aktiviti penerokaan minyak dan gas di Laut China Selatan yang dijalankan dalam had bidang kuasa negara. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Dua Ahli Parlimen pembangkang menggesa Putrajaya memperkukuh pertahanan maritim negara bagi melindungi zon ekonomi eksklusif (ZEE) Malaysia di Laut China Selatan, yang menempatkan beberapa kawasan minyak dan gas bernilai tinggi dikendalikan Petronas.

Bercakap kepada FMT, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dari Bersatu memberi amaran pencerobohan berulang oleh kapal tentera laut China, jika tidak dibendung boleh membawa kesan serius.

“Sesetengah perkara boleh diselesaikan melalui rundingan diplomatik, tetapi pada waktu-waktu tertentu, kita juga mesti bersedia dan cukup tegas menunjukkan kita benar-benar serius mempertahankan perairan,” kata wakil rakyat Machang itu.

Pada Ogos 2023, China telah mengeluarkan ‘Peta Standard China Edisi 2023’ yang turut meliputi kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam.

Negara itu telah mendakwa kedaulatan dan membuat tuntutan maritim ke atas wilayah berada dalam ZEE sejauh 200 batu nautika (370km) terbabit.

Pada September 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan semula komitmen Malaysia meneruskan aktiviti penerokaan minyak dan gas di Laut China Selatan.

Beliau berkata semua operasi dijalankan dalam had bidang kuasa Malaysia dan tidak bertujuan untuk mencetuskan provokasi terhadap China.

Petronas, yang mengurus dua projek penerokaan minyak dan gas di Laut China Selatan berhampiran Beting Patinggi Ali, telah beberapa kali berdepan dengan kapal China dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI), sebuah badan pemikir AS, sekurang-kurangnya satu kapal pengawal pantai China memasuki dan beroperasi di perairan Malaysia setiap hari antara 1 Jan hingga 27 Sept tahun lalu.

Pada November, akhbar Straits Times dari Singapura melaporkan AMTI berkata kapal pengawal pantai China telah beroperasi selama sebulan, hanya 2.4km dari projek pembangunan gas Kasawari milik Petronas, dan kapal tentera laut Malaysia turut mengawasi kawasan tersebut.

Dengan Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) masih dalam perbincangan mengenai tadbir urus minyak dan gas di negeri itu, Wan Fayhsal yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, menyeru kerajaan persekutuan dan negeri menyelesaikan segala perbezaan secepat mungkin.

Beliau memberi amaran sebarang kelewatan boleh menyebabkan ZEE negara terdedah kepada pencerobohan tentera laut China.

“Menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan untuk melindungi aset Petronas di Laut China Selatan. Ini melangkaui parti politik dan kepentingan negeri. Ini kepentingan negara.

“Jika wujud sikap kenegerian atau pemikiran sempit tentang keselamatan negara, saya khuatir dalam jangka panjang, semangat anggota pertahanan kita akan terjejas.

‘Mampukah Petronas dan Petros bekerjasama?’

Bekas menteri luar negeri Saifuddin Abdullah menyatakan keyakinan terhadap keupayaan pertahanan negara dan memuji Anwar kerana mempertahankan aktiviti penerokaan minyak dan gas di lapangan gas Kasawari walaupun berdepan bantahan dari Beijing.

“Kerajaan buat kerja baik dengan menyatakan: ‘Ini bukan urusan kamu. Blok ini berada dalam perairan kita. Ini kedaulatan kita dan kita bebas untuk buat apa-apa dengan sumber itu.’”

“Kedaulatan dan keselamatan, serta tentera laut dalam hal ini, adalah tanggungjawab persekutuan. Saya percaya kerajaan Malaysia—siapa pun yang mentadbir di Putrajaya—akan tetap memberi perlindungan sewajarnya,” katanya kepada FMT.

Tahun lalu, kerajaan persekutuan mengumumkan akan meningkatkan perlindungan ketenteraan di Malaysia Timur dengan membina pangkalan tentera laut baharu di Bintulu, Sarawak, sebagai tambahan kepada tiga yang sedia ada di Labuan, Teluk Sepanggar dan Sandakan.

Namun bulan lalu,  Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengumumkan pemindahan projek di Bintulu itu ke Muara Tebas, Kuching.

Saifuddin yang juga MPT Bersatu berkata cabaran utama kini sama ada Petronas dan Petros dapat mencapai persetujuan bersama yang menguntungkan selain memastikan kedaulatan minyak dan gas negara tidak dikompromi kepentingan asing.

“Mampukah Petronas dan Petros melakukannya bersama-sama? Bagaimana jika mereka perlu menjemput pihak asing untuk turut serta? Itulah bahagian rumit,” kata Ahli Parlimen Indera Mahkota terbabit.

Petronas dan Petros telah berunding sekian lama mengenai terma perjanjian baharu berkaitan hak gas di Sarawak.

Pada 17 Februari, Anwar memberitahu Parlimen bahawa Sarawak bersetuju bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) akan kekal sebagai kerangka utama tadbir urus industri minyak dan gas negara.

Beliau berkata semua perjanjian sedia ada Petronas akan kekal dan ditadbir sepenuhnya oleh PDA, dan Petronas serta anak syarikatnya tidak diwajibkan mematuhi sebarang keperluan tambahan di bawah undang-undang negeri.

Pengumuman Anwar di Dewan Rakyat disahkan Premier Sarawak Abang Johari Openg, dengan syarat bahawa kontrak sedia ada Petronas boleh diteruskan selagi tidak menjejaskan peranan Petros sebagai pengagregator gas tunggal Sarawak atau bertentangan dengan peruntukan Ordinan Pengagihan Gas 2016 negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.