
Ketua Amanah Johor Aminolhuda Hassan, berkata keadaan Suhaizan kini stabil, namun memerlukan pemantauan berterusan selepas paras oksigen dalam badan menurun.
“Memang benar, Suhaizan dimasukkan ke hospital sejak Isnin lalu akibat jangkitan pada usus dan paras darah putih yang tinggi menyebabkan paras oksigen rendah.
“Alhamdulillah, Suhaizan stabil, cuma malam tadi dia demam dengan suhu tinggi dan paras oksigen menurun. Pagi ini keadaannya stabil dan sedar, namun masih dalam pemantauan doktor di ICU,” katanya kepada Berita Harian.
Terdahulu, pembantu Suhaizan memaklumkan, bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu dimasukkan ke ICU kira-kira 11 malam tadi.
“Lawatan dan ziarah tidak dibuka kepada orang luar selagi di ICU. Marilah sama-sama kita mendoakan semoga Suhaizan segera sembuh,” katanya.
Pada PRK 9 Sept 2023, Suhaizan yang juga naib ketua Amanah Johor menang di Parlimen Pulai dengan majoriti 18,641 undi.
Suhaizan meraih 48,283 undi menewaskan Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) dengan 29,642 undi, manakala calon bebas, Samsudin Mohamad Fauzi, meraih 528 undi.
Suhaizan menggantikan Salahuddin Ayub, 61, penyandang kerusi Parlimen Pulai yang juga timbalan presiden Amanah, yang meninggal dunia pada 23 Julai 2023.