Culik budak malam raya, buruh dipenjara 3 tahun

Culik budak malam raya, buruh dipenjara 3 tahun

Tertuduh didakwa menculik kanak-kanak lelaki istimewa di tempat letak kenderaan Masjid Kampung Banggol Pokok Sena.

Jasri Ismail, 36, mengaku salah menculik seorang kanak-kanak lelaki dari bawah penjagaan bapanya. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Buruh mengaku salah di Mahkamah Majistret Butterworth kerana menculik seorang kanak-kanak lelaki istimewa berusia lima tahun pada malam Aidilfitri, di Kepala Batas bulan lalu.

Jasri Ismail, 36, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas membuat pengakuan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal, bermula dari tarikh tangkap 31 Mac.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menculik seorang kanak-kanak lelaki dari bawah penjagaan bapanya berusia 42 tahun di tempat letak kenderaan Masjid Kampung Banggol Pokok Sena, pada 8.20 malam, 30 Mac.

Jasri didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), lapor Berita Harian.

Ketika prosiding, Marissa memohon hukuman setimpal berikutan tertuduh menculik kanak-kanak berusia lima tahun yang juga berstatus istimewa.

“Kejadian itu berlaku pada malam Aidilfitri yang mana sepatutnya mangsa menggunakan waktu terbabit untuk bersama keluarganya. Selain itu, tertuduh juga mencederakan mangsa sehingga terdapat kesan luka pada badannya,” katanya.

Peguam YBGK memohon budi bicara mahkamah untuk menjatuhkan hukuman penjara minimum bermula dari tarikh tertuduh ditangkap dengan alasan masih bujang dan bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,800 sebulan, selain perlu menyara ibunya berusia 75 tahun.

Aini Adilah kemudian memerintahkan Jasri dipenjara tiga tahun bermula tarikh tangkapan.

Beliau turut menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap tertuduh selepas mengaku bersalah mencuri kereta jenis Honda BRV milik bapa kanak-kanak terbabit.

Sebelum ini dilaporkan, polis menahan seorang lelaki selepas melarikan sebuah kereta bersama kanak-kanak lelaki istimewa dari tempat letak kenderaan Masjid Kampung Banggol Pokok Sena pada 30 Mac lalu.

Lelaki itu diberkas bersama mangsa dan kenderaan berkenaan di sebuah stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Behrang, Perak.

Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan 10 kes berkaitan dadah, termasuk dua kes dikehendaki serta lima kes jenayah lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.