Melayu bersatu bila rasa terancam, kata Dr M

Melayu bersatu bila rasa terancam, kata Dr M

Bekas perdana menteri berkata orang Melayu bersatu buat kali pertama dalam sejarah ketika lawan Malayan Union kerana rasa terancam.

Tun Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad berkata parti Melayu dengan objektif masing-masing tidak mampu menyatukan kaum itu melainkan mereka mampu yakinkan orang Melayu berdepan masalah sama.
KUALA LUMPUR:
Orang Melayu hanya akan bersatu apabila berdepan masalah sama, kata Dr Mahathir Mohamad, merujuk penentangan kuat terhadap Malayan Union.

Bekas perdana menteri berkata, sebelum itu orang Melayu hanya mengambil berat perkara berkaitan negeri masing-masing.

Menyingkap sejarah orang Melayu yang sukar bersatu, Mahathir berkata: “Mereka menubuh negeri-negeri yang kecil berasingan dengan raja masing-masing, mereka tidak menubuhkan satu negara.”

Katanya, apabila empat negeri Melayu di utara Tanah Melayu diserah British kepada Thailand, tiada protes daripada sesiapa.

Mahathir merujuk kehilangan Patani, Singgora, Menara, dan Yala, yang kini sebahagian wilayah negara Gajah Putih itu yang diserah British kepada Bangkok pada 1909.

“Walhal ini negeri Melayu. Jadi, apabila pihak British cadang merampas negeri-negeri Melayu untuk menubuh Malayan Union, barulah semua negeri-negeri Melayu menghadapi masalah yang sama.

“‘Same objective’ (objektif sama). Jadi, apabila dia (orang Melayu) nampak masalah ini masalah yang sama, barulah mereka mula cari jalan memperkuatkan diri dengan bersatu padu,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Katanya, Malayan Union menjadi sejarah orang Melayu berkongsi matlamat dan masalah sama, iaitu kebimbangan terhadap kuasa berterusan British.

“Jadi, apabila kita ada satu objektif yang sama, baru kita boleh bersatu. Kalau kita ada banyak parti, masing-masing dengan objektifnya, kita tidak boleh satu,” katanya.

Mahathir yang menjadi perdana menteri ketika bersama Umno bawah Barisan Nasional (BN), dan dengan Bersatu bawah Pakatan Harapan (PH) berkata, parti politik tidak boleh menjadikan orang Melayu bersatu.

“Kita kena cari satu matlamat yang sama. Satu cabaran dan bahaya yang sama dihadapi semua orang Melayu,” katanya.

“Dan dengan itu, barulah mereka boleh bersatu kerana matlamat mereka sama, bukan ikut parti. Parti hanya ada orang ini jadi perdana menteri, orang ini jadi dasar itu, dasar ini, mereka tidak boleh bersatu.”

Katanya, peribahasa Melayu ‘bersatu teguh, bercerai roboh’ tidak diamalkan parti politik Melayu.

“Saya yakin, kalau kita sedar kita hadapi satu masalah yang sama terhadap orang Melayu, saya fikir soal parti tidak timbul kerana parti bermakna berpecah,” katanya menambah, politik memecahbelahkan orang Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.