Video tukar agama, mahkamah diberitahu waris bukan Muslim tak boleh saman Firdaus

Video tukar agama, mahkamah diberitahu waris bukan Muslim tak boleh saman Firdaus

Norazali Nordin berkata plaintif sebagai individu persendirian tidak boleh memfailkan saman di bawah undang-undang persendirian.

Lapan waris memohon Mahkamah Tinggi memaksa pendakwa Firdaus Wong memadamkan video didakwa melanggar undang-undang dan menghalangnya daripada menerbitkan semula kandungan.
KUALA LUMPUR:
Lapan waris bukan Muslim tidak mempunyai asas memaksa pendakwah Firdaus Wong memadamkan video didakwa mempromosi penukaran agama kepada Islam secara rahsia melibatkan remaja bawah umur, Mahkamah Tinggi diberitahu.

Peguam Norazali Nordin, mewakili Firdaus, berkata warganegara tidak mempunyai remedi terhadap pelanggaran hak Perlembagaan antara satu sama lain.

“Seorang individu persendirian hanya boleh menyaman eksekutif atau wakil kerajaan dalam undang-undang awam,” katanya ketika pendengaran saman pemula dibawa ibu bapa berkenaan.

Peguam berkata, beliau bergantung kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Beatrice A T Fernandez lawan Sistem Penerbangan Malaysia & lain-lain (2005), bagi menyokong hujahan.

“Dalam kes tersebut, diputuskan pelanggaran Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan hak kepada seorang warganegara untuk memulakan prosiding terhadap warganegara lain,” hujah peguam itu di hadapan Hakim Amarjeet Singh.

Norazali berkata, ibu bapa sebagai individu persendirian sepatutnya memfailkan saman mereka mengikut undang-undang persendirian.

“Plaintif (ibu bapa) gagal mengemukakan sebab tindakan yang sah kerana pelanggaran Perlembagaan yang didakwa berlaku antara dua pihak persendirian,” kata Norazali, yang turut dibantu Syahidah Hanum Ghazali.

Beliau juga berkata, dakwaan plaintif bahawa video berkenaan memudaratkan hanyalah spekulasi semata-mata.

Norazali menyatakan mereka tidak membentangkan sebarang keterangan menunjukkan kanak-kanak bawah umur jagaan telah menukar agama kepada Islam tanpa pengetahuan dan persetujuan mereka.

Katanya, tindakan anak guam tidak boleh dianggap kacau ganggu persendirian kerana kes berkenaan tidak melibatkan gangguan terhadap kenikmatan plaintif ke atas tanahnya.

“Pelanggaran kacau ganggu awam adalah tertakluk undang-undang jenayah, dan adalah menjadi tanggungjawab pendakwa raya untuk bertindak,” katanya.

Dalam jawapan balas, peguam M Visvanathan berkata, kandungan video dimuat naik Firdaus melanggar Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan ibu bapa atau penjaga berhak menentukan agama bagi seseorang berumur bawah 18 tahun.

Katanya, plaintif memohon pengisytiharan dan perintah injuksi memaksa Firdaus menurunkan kandungan video yang dikatakan menyalahi undang-undang, dan melarangnya memuat naik rakaman serupa pada masa depan.

“Video dipertikaikan itu bukan sahaja melanggar hak plaintif, malah hak ibu bapa bukan Islam lain,” kata Visvanathan, yang dibantu Sanjay Nathan dan Pushan Qin Nathan.

Katanya, kenyataan Firdaus juga mengancam dan merendahkan hak plaintif melaksanakan hak Perlembagaan mereka bagi menentukan agama anak-anak bawah umur mereka.

“(Jelas daripada) rakaman video tersebut bahawa Firdaus juga terlibat dalam penukaran agama secara rahsia kanak-kanak bukan Muslim,” katanya.

Beliau menyeru mahkamah mengeluarkan pengisytiharan bahawa Firdaus melanggar hak plaintif, dan menghalangnya daripada mengulangi tindakan sama.

Visvanathan berkata, Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa di bawah Seksyen 25 dan Jadual Kedua Akta Kehakiman 1964 mengeluarkan perintah demikian kepada mana-mana individu bagi kuat kuasa hak diberikan mengikut Bahagian 11 Perlembagaan.

“Mahkamah akan menjadi tidak berdaya jika pihak yang terjejas tidak mendapat remedi bagi pelanggaran hak asasi Perlembagaan,” katanya.

Peguam itu berkata, plaintif telah memfailkan saman pemula bagi mendapatkan remedi di bawah undang-undang awam memandangkan pendakwa raya menolak mendakwa Firdaus, walaupun terdapat banyak laporan polis dibuat terhadapnya.

Amarjeet akan memutuskan penghakimannya pada 10 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.