Sebabkan kematian ejen insurans, 4 dihukum penjara 10 tahun

Sebabkan kematian ejen insurans, 4 dihukum penjara 10 tahun

Mereka terlepas hukuman mati selepas pendakwaan terima representasi pembelaan dan tukar tuduhan kepada sebabkan kematian.

seremban court
Hakim Mahkamah Tinggi Seremban Rohani Ismail mengarahkan S Jeeva, M Raja, P Yogan Pillay dan M Bereamalah memulakan hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap empat individu, termasuk seorang ibu tunggal, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan menyebabkan kematian seorang ejen insurans pada 2021.

Hakim Rohani Ismail memerintahkan pekerja buruh S Jeeva, 55; M Raja, 39; P Yogan Pillay, 29, dan M Bereamalah, 43, memulakan hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap.

Rohani berkata mahkamah mengambil kira faktor mitigasi daripada peguam pembela serta faktor pemberat yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Mereka didakwa menyebabkan kematian P Rajasegaran, 52, di tingkat 10, Menara Zurich di sini antara 12 Nov dan 2 Dis 2021.

Tulang rangka mangsa kemudian ditemui di Tanjung Sepat, Selangor, pada 2 Dis 2021.

Keempat-empat mereka pada awalnya didakwa atas pertuduhan membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun, serta minimum 12 sebatan bagi tertuduh lelaki.

Perbicaraan kes bunuh itu dijadualkan bermula hari ini, namun Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Saubian memberitahu mahkamah pendakwaan menerima representasi yang dikemukakan oleh pembelaan.

Semua tertuduh kemudian mengaku bersalah atas tuduhan pindaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun.

Menurut fakta kes, isteri Rajasegaran, yang bekerja di syarikat insurans sama, membuat laporan polis pada 12 Nov 2021 selepas gagal menghubungi suaminya.

Kereta mangsa ditemui ditinggalkan di Banting empat hari kemudian dan siasatan awal polis mendedahkan jenayah itu berkaitan dengan pemerasan.

Penyiasat turut menemui barangan kemas milik mangsa yang dijual Bereamalah di sebuah kedai emas di Klang.

Tiga lelaki itu juga secara berasingan membawa polis ke kawasan semak di Gadong, Tanjung Sepat, di Kuala Langat, pada 2 dan 7 Dis 2021, lokasi mereka dakwa meninggalkan mangsa.

Siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat perbuatan tertuduh, yang akhirnya membawa kepada kematiannya.

Semua tertuduh ditahan dalam tempoh tiga minggu selepas jenayah itu berlaku.

Fahmi Abdullah mewakili Jeeva, Donald Selvam mewakili Raja, dan Baharudeen Arif mewakili Yogan Pillay. Bereamalah, seorang ibu kepada dua anak, diwakili oleh G Subramaniam Nair.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.