MoF masih teliti perincian peluasan skop SST, kata timbalan menteri

MoF masih teliti perincian peluasan skop SST, kata timbalan menteri

Lim Hui Ying berkata kementerian sedang dalam proses libat urus dengan pemegang taruh.

supermarket
Jurucakap Kementerian Kewangan semalam dilaporkan berkata, penguatkuasaan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan yang dijangka pada 1 Mei ini, telah ditangguhkan.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kewangan masih dalam proses meneliti perincian garis panduan mengenai skop peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kata Timbalan Menteri Lim Hui Ying.

Beliau berkata, pihaknya sedang dalam proses mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh.

“Kalau ada maklumat lanjut, MoF akan buat pengumuman nanti,” katanya selepas Majlis Perasmian Program Jelajah Mega e-Invois 2025.

Semalam, media yang memetik jurucakap kementerian dilaporkan berkata, penguatkuasaan peluasan SST yang dijangka akan dilaksana pada 1 Mei ini, telah ditangguhkan.

Menurut laporan itu, peluasan skop SST akan dilaksana pada masa akan datang dan segala garis panduan berkaitan sedang diperhalusi bagi memastikan pelaksanaan yang lancar.

Sesi libat urus bersama pemain industri di seluruh negara dilaporkan telah selesai bagi memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai yang dikenakan.

Sebelum ini, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan kerajaan berhasrat untuk melancarkan peluasan skop SST pada 1 Mei.

Bagaimanapun, beberapa kumpulan perniagaan dan perdagangan termasuk Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) menggesa supaya skop peluasan SST ditangguhkan, mengambil kira tarif yang mungkin dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap barang import di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Lim yang berucap pada majlis itu berkata hampir 29,000 syarikat telah melaksanakan e-Invois, melibatkan 262 juta transaksi setakat semalam.

Menurutnya, pencapaian tersebut melibatkan 5,400 pembayar cukai fasa pertama dan 12,600 pembayar cukai bagi fasa kedua yang melaksanakannya sejak Januari.

“Turut merangkumi lebih daripada 11,000 pembayar cukai fasa ketiga yang melaksanakan secara sukarela lebih awal daripada tarikh mandatori bermula 1 Julai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.