Kilang kayu haram diserbu, PGA sita mesin lebih RM30 juta

Kilang kayu haram diserbu, PGA sita mesin lebih RM30 juta

Serbuan dilakukan menerusi Op Khazanah di beberapa jajahan di Kelantan semalam.

kayu balak haram
Pasukan Gerakan Am menyerbu kilang kayu haram di Kelantan dan merampas pelbagai barangan dianggarkan bernilai RM31.2 juta dalam Op Khazanah. (Gambar PGA)
KOTA BHARU:
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas pelbagai barangan dianggarkan bernilai RM31.2 juta dalam serbuan ke atas kilang kayu haram di Kelantan menerusi Op Khazanah, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata serbuan yang dilakukan secara serentak pada 1.30 tengah hari itu melibatkan jajahan Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli.

“Lapan pegawai dan 65 anggota daripada Cawangan Risik Briged Tenggara, Batalion 7, 8, 9 serta Strike Force bersama Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan menyertai operasi ini.

“Sebanyak 39 individu berjaya ditahan termasuk pekerja warga asing Myanmar tanpa dokumen sah, selain merampas 5,537 pelbagai jenis kayu hutan, 25 jentera berat, 93 alat pemotong kayu, serta beberapa mesin pemprosesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Ros Azhan berkata rampasan terbesar melibatkan kayu hutan bernilai kira-kira RM14.98 juta, diikuti peralatan memproses kayu sebanyak RM11.75 juta.

“Rampasan lain termasuk mesin cip, jentera berat, alat penimbang dan tong gas bernilai RM4.48 juta,” katanya.

Beliau berkata antara kesalahan yang dikesan ialah beroperasi tanpa lesen sah di bawah Akta Perhutanan Negara 1984, Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 dan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selain itu, semakan pihak berkuasa tempatan mendapati beberapa kilang memiliki dokumen sewaan sah manakala yang tidak berlesen akan dirujuk untuk tindakan perundangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.