
Pihak pembelaan sebelum itu membuat permohonan di Mahkamah Sesyen Ampang supaya anak guamnya, Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, menjalani kesihatan mental mengikut Seksyen 342(1) Kanun Prosedur Jenayah.
Peguam Lingswaran Singh memaklumkan permohonan itu dibuat berikutan anak guamnya tidak berupaya untuk membela diri.
“Sepanjang interaksi dengan tertuduh, makluman daripada ibunya dan disokong dengan penilaian psikologi daripada sebuah universiti awam bertarikh 15 Julai 2022, tertuduh menunjukkan tingkah laku atau mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan keraguan munasabah.
“Dia berkemungkinan besar mengalami masalah kewarasan dan tidak berupaya untuk membela diri.
“Permohonan di bawah Seksyen 342(1) supaya anak guam dirujuk ke hospital kerajaan untuk mendapatkan penilaian psikiatri,” katanya, menurut Harian Metro.
Manakala Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie pula berkata, semua dokumen berkaitan kes sudah diserahkan kepada pihak pembelaan kecuali laporan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan perubatan mangsa daripada Hospital Selayang.
Hakim Norshila Kamaruddin kemudiannya menetapkan 22 Julai untuk sebutan semula kes bagi laporan pemeriksaan kesihatan mental tertuduh, laporan perubatan mangsa dan forensik CCTV.
Adam Haiqal didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun lapan bulan di Masjid Sungai Masin, Kampung Sungai Masin, Batang Kali pada 6.20 pagi, 21 Februari lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen 14 akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Sebelum ini, tertuduh menukar pengakuan kepada tidak bersalah ketika prosiding kali kedua pada 27 Mac lalu ketika sebutan semula kes.
Dia bagaimanapun kekal ditahan di Pusat Koreksional Puncak Alam kerana ahli keluarganya tidak mampu membayar wang jaminan.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki OKU ditahan susulan kes cabul ketika mangsa menunaikan solat di saf belakang ruang solat wanita di masjid.