Kerusi Labuan ‘kekal status quo’, Suhaili fail rayuan saman Bersatu

Kerusi Labuan ‘kekal status quo’, Suhaili fail rayuan saman Bersatu

Ahli Parlimen itu berkata, beliau masih boleh rayu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan setelah samannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Suhaili Abdul Rahma
Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman berkata, sekiranya rayuannya turut ditolak di Mahkamah Persekutuan, barulah beliau akan melepaskan kerusinya di Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman mengesahkan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 April lepas, yang membatalkan writ saman dan penyata tuntutannya terhadap Bersatu.

Menegaskan kerusi disandangnya kekal ‘status quo’, Suhaili berkata, beliau masih ada dua lapisan mahkamah, iaitu Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, untuk mempertahankan haknya.

“Jika saya kalah di Mahkamah Persekutuan, maka saya letak jawatan (sebagai Ahli Parlimen),” katanya kepada FMT.

Dalam pada itu, Suhaili mengecam tindakan Bersatu yang menurutnya hanya fokus pada usaha menjatuhkan kerajaan, berbanding membela nasib rakyat.

“Rakyat risaukan pasal tarif, yang (dikhuatiri) beri kesan terhadap ekonomi … tetapi mereka ini (Bersatu) masih sibuk pasal PRK, tumpang kerajaan.

“Satu kerusi tak mampu ubah kerajaan. Kalau nak sangat jadi kerajaan, tunggu PRU16. Kenapa nak cari publisiti murahan?” katanya.

Terdahulu, Ketua Whip Bersatu Ronald Kiandee menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memohon kerusi Labuan diisytihar kosong selepas mahkamah membatalkan saman Suhaili.

Katanya, alasan speaker untuk tidak mengosongkan kerusi itu sebelum ini tidak lagi relevan mahupun terpakai.

Pada 11 Julai tahun lepas, Johari dilapor memaklumkan dalam surat kepada Kiandee bahawa beliau tidak mahu merosakkan kepentingan pihak sedang berbicara dalam kes mahkamah, susulan tindakan Suhaili menyaman Bersatu.

Suhaili memfailkan saman pada 1 Julai tahun lepas, memohon mahkamah mengisytiharkan pemecatannya daripada Bersatu tidak sah dan menyalahi undang-undang.

Hakim bagaimanapun berkata, mahkamah tidak boleh memutuskan perkara itu disebabkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan yang menyatakan keputusan parti politik adalah muktamad dan konklusif.

Suhaili mewakili Kawasan Parlimen Labuan pada 1999-2004 dan 2004-2008 bawah Barisan Nasional, sebelum menawan Labuan sekali lagi pada PRU15 untuk Perikatan Nasional (PN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.