
Anwar yang juga Presiden PKR, berkata keputusan untuk melibatkan juruaudit luar dibuat selepas timbul kebimbangan mengenai perjalanan pemilihan tersebut.
“Seseorang membuat aduan, kita ambil tindakan dan sekarang, ada juruaudit antarabangsa sedang menyemak sekiranya aduan itu berasas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Projek Rumah Belia Madani dan Rumah Mampu Milik Madani di Batu.
Anwar menjawab soalan sama ada beliau boleh memberi jaminan bahawa pemilihan PKR akan dijalankan secara adil.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Dr Zaliha Mustafa, baru-baru ini mengumumkan bahawa pemilihan semula bagi empat bahagian – Jempol, Selayang, Silam dan Semporna – akan diadakan pada 1 Mei, dengan keputusan dijangka diumumkan pada 5 Mei.
Bagaimanapun, beliau mempertahankan penggunaan sistem undian berasaskan blockchain oleh parti itu, susulan kritikan terhadap ketidakteraturan dan keputusan pengundian.
“Sistem blockchain ini kalis penipuan, kalau ada sedikit-sebanyak itu, maknanya dalam proses untuk kita melengkapkan sistem itu,” katanya.
Sebelum ini, beberapa pihak mempersoalkan sistem itu selepas beberapa pemimpin berprofil tinggi tewas dalam pemilihan ketua bahagian itu kepada calon yang kurang terkenal.
Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan K Saraswathy, Ketua Pemuda PKR Adam Adli serta beberapa Ahli Parlimen antara pemimpin yang tewas. Sebahagian daripada mereka mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Sementara itu, mengenai gencatan senjata selama 20 hari oleh junta Myanmar, Anwar berkata Putrajaya sedang memantau perkembangan itu dengan teliti dan menggesa semua pihak untuk melanjutkan gencatan senjata melepasi tarikh tamat pada 30 April.
“Kami merayu kepada kedua-dua pihak bahawa gencatan senjata adalah penting bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada semua tanpa sebarang diskriminasi,” katanya.
Beliau menambah Wisma Putra juga telah mengeluarkan satu lagi rayuan supaya gencatan senjata itu dilanjutkan dan dihormati, terutamanya memandangkan penderitaan akibat gempa bumi dahsyat yang berlaku bulan lalu.