Didakwa ugut guna senjata api, polis rampas, mohon batal permit Adun

Didakwa ugut guna senjata api, polis rampas, mohon batal permit Adun

Polis masih siasat dakwaan Adun Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad ugut guna senjata pada pemilihan PKR 13 April lepas.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata, siasatan kes masih berjalan dan 13 individu dipanggil untuk membantu.
PETALING JAYA:
Polis merampas senjata milik Adun Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad bagi membantu siasatan susulan dakwaan berlaku ugutan dengan menunjukkan senjata api pada pemilihan cabang PKR 13 April lepas.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata, tindakan merampas senjata itu tatacara operasi standard apabila mana-mana individu yang memiliki permit senjata api terlibat dalam siasatan kes polis.

Katanya, permohonan oleh polis untuk membatalkan permit dibuat pada 18 April lepas dan Adun itu menyerahkan senjata kepada polis pada keesokan hari.

“Setakat ini kita sokong untuk batalkan permit pemilikan senjata api (di) Bukit Aman dan senjatanya pun telah kita rampas, disimpan di IPD Ipoh,” katanya kepada pemberita pada sebuah majlis di Ipoh hari ini, lapor Bernama.

Tambahnya, siasatan kes itu masih berjalan dan 13 individu dipanggil untuk membantu, termasuk Arafat dan pengadu.

Terdahulu, tular video berdurasi 1 minit dan 5 saat memaparkan seorang individu mendakwa Arafat menunjukkan pistol kepada ahli yang sedang merayu undi pada pemilihan 13 April lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.