
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Nadayu Kajang pada Khamis, pihaknya menahan tiga warga tempatan, yang juga adik beradik, dipercayai dalang sindiket itu.
Ketika serbuan, katanya, ketiga-tiga suspek berusia antara 27 hingga 39 tahun itu sedang leka membungkus dadah.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 830 bungkusan plastik, 56 guni plastik dan satu besen plastik yang kesemuanya berisi syabu serta pelbagai peralatan membungkus dadah,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, lapor Bernama.
Soal siasat ketiga-ketiga lelaki itu membawa kepada serbuan di dua buah kondominium di Cheras pada awal pagi keesokan harinya.
Mat Zani berkata, di kondominium tersebut, polis menemukan 95 bungkus dadah ketamin, tiga bungkusan plastik berisi syabu dan 81 bungkus plastik berisi serbuk ekstasi, berjumlah keseluruhan 2.165 tan dengan nilai pasaran RM82.14 juta.
Polis turut menyita empat kereta milik suspek bernilai RM95,000.
Semua suspek direman tujuh hari hingga 1 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya.
Dalam pada itu, Mat Zani berkata, ini merupakan rampasan pertama dadah yang diperoleh dari negara Amerika Latin, dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan sebelum dijual semula ke pasaran Korea Selatan dan Jepun, dengan harga lebih mahal berbanding pasaran tempatan.
Katanya, siasatan awal mendapati sindiket itu membawa masuk dadah melalui jalan laut dengan mengisytiharkannya sebagai bahan mentah produk plastik.
“Polis sedang menyiasat hubung kait antara sindiket itu yang mula aktif sejak tahun ini dengan sindiket dadah di Amerika Latin. Kami percaya masih terdapat ahli sindiket ini yang masih bebas,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang berhubung dengan agensi penguatkuasaan dadah luar negara, termasuk Agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA) bagi membantu siasatan.
“Polis percaya ini merupakan cubaan sindiket dadah dari Amerika Selatan untuk menjual dadah mereka di sini dan menjadikan Malaysia sebagai transit ke negara ketiga,” katanya.