Anwar ucap tahniah kepada Carney menang pilihan raya Kanada

Anwar ucap tahniah kepada Carney menang pilihan raya Kanada

Perdana menteri berkata beliau sedia bekerjasama rapat bagi terus kukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau yakin Kanada akan kekal sebagai satu suara yang kuat dan mantap dalam usaha melibatkan diri secara konstruktif di peringkat antarabangsa.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Kanada Mark Carney atas kemenangan beliau dalam pilihan raya persekutuan negara itu.

Anwar berkata bahawa beliau bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Carney, bagi terus memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara, termasuk melalui Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Beliau berkata pilihan raya itu juga menandakan satu permulaan baharu bagi Kanada dan mengesahkan komitmen negara itu terhadap kemerdekaan, daya tahan dan kepimpinan berprinsip dalam masa yang tidak menentu.

“Kami yakin bahawa di bawah kepimpinan beliau, Kanada akan kekal sebagai satu suara yang kuat dan mantap dalam usaha melibatkan diri secara konstruktif di peringkat antarabangsa.

“Dunia mesti terus menegakkan perdagangan antarabangsa sebagai pemacu kepada kemakmuran dan kestabilan bersama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Media hari ini melaporkan Carney memenangi pilihan raya di Kanada dan akan meneraju Parti Liberalnya untuk satu lagi penggal pemerintahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.