
Mengulas laporan berita mengenai perkara itu, Ti Lian Ker berkata ahli akar umbi percaya Umno telah meninggalkan prinsip BN untuk terus berkuasa melalui kerjasama DAP.
Katanya, parti teras BN itu telah mengetepikan tradisi gabungan untuk membuat keputusan berdasarkan konsensus dan keterangkuman, menyebabkan ahli MCA terpinggir dan kecewa.
Sambil menyifatkan situasi berkenaan seperti masalah perkahwinan, beliau memberitahu FMT:
“Ia seakan isteri ditinggalkan suami yang melarikan diri, namun si isteri yang terasing masih berharap keadaan kembali normal walaupun tanda jelas menunjukkan sebaliknya.”
Katanya, ketidakpastian menjurus itu telah mengundang ‘kegelisahan dan kekecewaan besar di lapangan terhadap kepimpinan tertinggi (parti)’.
Ti berkata, MCA ketika ini berada di persimpangan.
Katanya, parti mesti memutuskan sama ada kekal dalam BN dan berpuas hati dengan ‘sisa diberikan’, atau berpisah untuk menentukan hala tuju sendiri.
Ti berkata, berterusan bersama BN, MCA mungkin akhirnya membuktikan dakwaan DAP parti itu sentiasa tunduk kepada Umno. Ia, katanya, akan menjejaskan imej dan kredibiliti parti berkenaan.
“Ia dilema. Dan tiada panduan bagi menyusuri kekecewaan seperti ini,” katanya sambil menyatakan walaupun MCA mungkin tidak popular seperti DAP, ia tetap parti lebih besar dari segi organisasi, sumber, dan pengalaman.
Pada Mac, selepas bekas setiausaha agung Pemuda MCA, Leong Kim Soon, berpaling tadah kepada Bersatu, Ti memberitahu Malaysiakini, ramai ahli muda merasakan parti itu kekurangan hala tuju.
Beliau juga mendakwa ramai ahli tidak berpuas hati dengan keadaan semasa MCA, dan merasakan pimpinan perlu memaparkan keberanian dengan membuat keputusan tegas dan strategik menyediakan hala tuju jelas kepada parti.
Ti berkata, parti kesuntukan masa untuk melakukan persediaan menjelang pilihan raya umum akan datang.
Katanya, MCA sepatutnya membuang angan-angannya kerana semakin jelas Umno berkemungkinan akan meneruskan kerjasama dengan ‘cinta barunya’, merujuk kepada DAP.
Beliau berkata, label ‘UmDAP Mantap’ digunakan semasa PRK Ayer Kuning baru-baru ini berupa bukti MCA dan MIC sedang diketepikan.
“Kita tidak boleh terpedaya sehingga leka dan membuang masa untuk bangkit dan bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang. Semakin jelas kita akan diketepikan dalam pilihan raya akan datang.”
Pada Ahad, Sin Chew Daily melaporkan bahawa Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon menggesa parti itu mengawal masa depannya sendiri, jika BN terus berlengah membuat keputusan jelas mengenai hala tujunya
Chong dilaporkan berkata, MCA telah memberi lebih dua tahun kepada BN untuk merancang semula selepas PRU15, namun ketidakpastian berterusan BN telah menyebabkan ahli MCA kecewa dan keliru.