Tahanan rumah Najib: Semakan kehakiman ditangguh tunggu keputusan rayuan AG

Tahanan rumah Najib: Semakan kehakiman ditangguh tunggu keputusan rayuan AG

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz juga benar tangguh permohonan 'gag order' oleh kerajaan.

najib razak
Pada Januari, Mahkamah Rayuan benar Najib Razak mula prosiding semakan kehakiman agar kerajaan melaksanakan titah adendum yang dikatakan membenarkan bekas PM itu menjalani tahanan rumah. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan permohonan Najib Razak agar titah adendum yang membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani tahanan rumah dikuatkuasakan, sementara menunggu keputusan rayuan peguam negara di Mahkamah Persekutuan.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz juga membenarkan penangguhan permohonan kerajaan untuk memperoleh perintah larang suara (gag order) berhubung semakan kehakiman itu.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly memaklumkan Hayatul, Mahkamah Persekutuan memutuskan awal hari ini ia akan mendengar rayuan peguam negara terhadap kebenaran Mahkamah Rayuan untuk Najib memulakan prosiding semakan kehakiman.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim menetapkan 1 dan 2 Julai untuk mendengar rayuan itu.

Hanir juga memberitahu Hayatul, panel hakim Mahkamah Persekutuan menasihatkan pihak-pihak terkesan untuk mendapatkan arahan Mahkamah Tinggi mengenai perintah larang suara dan perbicaraan semakan kehakiman.

“Sekarang kami telah setuju untuk tidak meneruskan kedua-dua perkara ini sementara menunggu keputusan rayuan Peguam Negara,” beritahu Hanir kepada hakim.

Shafee Abdullah yang mewakili Najib selaku peguam turut mengesahkan perkara itu.

Bagaimanapun, peguam itu menggesa Hayatul menetapkan tarikh pengurusan kes sejurus selepas rayuan didengar di Mahkamah Persekutuan, memandangkan anak guamnya telah memfailkan tuntutan tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi itu menetapkan 3 Julai untuk pihak-pihak memberikan kemas kini.

Najib yang kini sedang menjalani hukuman di penjara Kajang atas kesalahan rasuah dalam kes SRC International, turut hadir.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan menteri dalam negeri, komisioner jeneral Jabatan Penjara, peguam negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, menteri reformasi undang-undang dan institusi, ketua pengarah bahagian hal ehwal undang-undang Jabatan Perdana Menteri dan kerajaan sebagai responden.

Dalam keputusan majoriti pada 6 Jan, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Susulan itu, kes dihantar ke Mahkamah Tinggi untuk permohonan itu didengar atas meritnya.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan peguam negara berdasarkan tujuh persoalan undang-undang mengapa Najib tidak sepatutnya dibenarkan memulakan semakan kehakiman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.