
SKMM berkata dua sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut dijalankan di Ibu Pejabat SKMM di Cyberjaya pada Jumaat lalu dan hari ini.
“Siasatan awal mendapati pempengaruh tersebut menyebarkan maklumat palsu berhubung institusi diraja, membuat tuduhan tidak berasas, dan cuba mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, tindakan pempengaruh itu didakwa dilakukan dengan niat untuk menganiaya, menyakitkan hati, mengugut atau menganggu mengganggu orang lain.
“Tindakan ini berpotensi mencetuskan kegusaran awam, menyemarakkan fitnah, mengundang ancaman terhadap keselamatan peribadi dan pelanggaran undang-undang komunikasi serta peraturan perlindungan data peribadi,” katanya.
SKMM juga menegaskan semua aduan akan disiasat berlandaskan undang-undang, tanpa mengira status, populariti atau pengaruh individu terlibat.
Katanya, setiap siasatan dijalankan secara profesional, mengikut prosedur yang adil dan selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Suruhanjaya itu tidak menamakan pempengaruh yang terlibat atau mengulas lanjut mengenai kandungan media sosial berkenaan.
Bagaimanapun, kenyataan itu dikeluarkan dua hari selepas pempengaruh Aliff Ahmad mendakwa SKMM cuba mengugutnya dengan menghantar kereta peronda polis ke rumahnya pada malam Jumaat, beberapa jam selepas dia disoal siasat berhubung hantaran melibatkan bekas Ahli Parlimen PKR, Nurul Izzah Anwar.
Aliff dilaporkan berkata bahawa SKMM ‘cuba menggunakan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia’ terhadapnya.
Pempengaruh itu disiasat berhubung satu hantarannya di media sosial yang menawarkan untuk menyiasat latar belakang Nurul Izzah jika mendapat 20,000 perkongsian di Facebook.
Pada Jumaat lalu, Nurul Izzah menafikan beliau atau pegawainya membuat laporan kepada SKMM terhadap Aliff.
Beliau berkata tidak wajar seseorang disiasat hanya kerana mencabar atau membuat kenyataan terhadap dirinya.