Kerjasama BN, PH, parti tempatan boleh bawa kestabilan di Sabah, kata Salleh

Kerjasama BN, PH, parti tempatan boleh bawa kestabilan di Sabah, kata Salleh

Adun Usukan Salleh Said Keruak berkata cubaan memisahkan BN daripada PH di Sabah tidak logik dan bercanggah realiti politik semasa.

salleh said keruak
Adun Usukan Salleh Said Keruak menggesa rakyat Sabah tidak terpengaruh naratif politik songsang yang boleh mengganggu kestabilan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kestabilan politik di Sabah hanya boleh dicapai melalui kerjasama erat antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan parti tempatan, kata seorang pemimpin Umno negeri.

Adun Usukan, Salleh Said Keruak, berkata cubaan memisahkan BN daripada PH di Sabah tidak logik dan bercanggah realiti politik semasa.

“BN dan PH adalah tunjang kerajaan Madani di peringkat pusat. Mustahil dipisahkan kerana matlamat mereka sama – kestabilan, pembangunan dan masa depan rakyat,” katanya di Facebook.

Beliau menegaskan konteks politik Sabah berbeza dengan Sarawak yang menolak parti nasional kerana kestabilan negeri itu bergantung kepada kerjasama antara parti nasional dan tempatan.

“Kalau mahu ikut model Sarawak, semua parti nasional, termasuk BN dan PH, harus ditolak. Tetapi Sabah berbeza. Di sini, kestabilan datang daripada kerjasama BN, PH dan parti tempatan.”

Justeru, bendahari Umno negeri itu menggesa rakyat Sabah tidak terpengaruh naratif politik songsang yang boleh mengganggu kestabilan.

“Yang penting sekarang ialah kestabilan dan masa depan rakyat, bukan politik perpecahan.

“Kestabilan bukan datang daripada memilih sebelah, tetapi daripada berpadu atas matlamat bersama.”

Pada 13 April lalu, Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin mengumumkan BN akan bekerjasama dengan PH pada PRN akan datang dan perjanjian kerjasama itu telah dimuktamadkan sejak tahun lalu.

Katanya, perbincangan tidak rasmi dengan pemimpin PH Sabah diadakan beberapa kali sebelum rundingan rasmi dimulakan.

Bagaimanapun, Ketua DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, berkata tiada perbincangan rasmi antara partinya dengan mana-mana pihak berkaitan kerjasama pilihan raya.

Menurutnya, DAP Sabah akan menentukan pakatan politiknya bagi PRN akan datang berdasarkan parti itu sama ada bersetuju dengan bakal sekutu dalam hal berkaitan dasar.

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, sebelum ini berkata keputusan akhir kerjasama itu akan dibuat gabungan pemerintah negeri terdiri daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PH.

GRS sebahagian daripada kerajaan persekutuan yang turut melibatkan PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta beberapa parti kecil dan wakil bebas.

Namun, di Sabah, BN sebahagian daripada blok pembangkang, manakala kerajaan pimpinan Hajiji disokong lima wakil Umno.

BN dan GRS sedang berusaha menarik PH bagi membentuk kerjasama menjelang PRN akan datang. PH pula berkata, keputusan hanya akan dibuat apabila pilihan raya semakin hampir dan wakil rakyatnya terus memegang jawatan dalam Kabinet Hajiji.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.