JPA laksana model baharu LSP berasas merit akademik mulai Jun

JPA laksana model baharu LSP berasas merit akademik mulai Jun

Program dilaksanakan kepada semua pelajar tajaan JPA kecuali penerima dermasiswa di mana bayaran balik akan dikurangkan berdasar pencapaian akademik.

JPA berkata model baharu latihan sebelum perkhidmatan akan menggantikan pinjaman boleh ubah 2016 berasaskan merit tempat berkhidmat kepada pinjaman boleh ubah berasaskan merit akademik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan akan mula melaksanakan model baharu latihan sebelum perkhidmatan (LSP) Jun ini bagi mengurangkan bayaran balik pinjaman pengajian bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

JPA memaklumkan model baharu itu akan menggantikan pinjaman boleh ubah (PBU) 2016 berasaskan merit tempat berkhidmat kepada pinjaman boleh ubah berasaskan merit akademik (PBU Akademik).

Program itu akan dilaksanakan kepada semua pelajar tajaan JPA, kecuali penerima dermasiswa, di mana bayaran balik pinjaman akan dikurangkan berdasarkan pencapaian akademik dengan kriteria tertentu.

“Pelajar yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) akhir 3.75 hingga 4 atau setara tanpa lanjutan perlu membuat 5% bayaran balik PBU Akademik.

“PNGK 3.50 hingga 3.74 atau setara pelanjutan membuat 10% bayaran balik PBU Akademik, diikuti PNGK akhir 3.00 hingga 3.49 (15%), PNGK 3.00 dan ke atas atau setara (20%), PNGK akhir bawah 3.00 atau setara atau gagal pengajian (100%),” katanya dalam kenyataan menurut Berita Harian.

Menurutnya, pelajar bidang perubatan, pergigian dan farmasi akan mendapat pengecualian penuh bayaran balik pinjaman, jika mereka dapat menamatkan pengajian serta memenuhi ikatan kontrak berkhidmat dengan kerajaan.

Katanya, jika pelajar gagal menamatkan pengajian atau memenuhi ikatan kontrak, mereka perlu membayar balik pinjaman sepenuhnya.

JPA berkata, pelajar bawah model PBU 2016, opsyen penukaran kepada PBU Akademik akan dibuka secara berperingkat mulai 1 Jan depan.

“Pelajar PBU 2016 yang sudah tamat pengajian dan kini membuat bayaran balik, diminta menghentikan bayaran balik bermula 1 Jun ini sehingga penukaran opsyen dibuka secara berperingkat mulai 1 Jan 2026.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.