Jangan ‘paksa’ kerjasama PRN Sabah ikut komposisi persekutuan, kata pemimpin GRS

Jangan ‘paksa’ kerjasama PRN Sabah ikut komposisi persekutuan, kata pemimpin GRS

Armizan Mohd Ali berkata tiada perjanjian dalam MoU pada Disember 2022 bagi membentuk kerajaan pusat mewajibkan model sama diikuti di negeri.

GRS Sabah
Pentadbiran Sabah kini diketuai Gabungan Rakyat Sabah bersama Pakatan Harapan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berpendapat kerjasama parti politik pada PRN tidak boleh ‘dipaksa’ mengikut komposisi di peringkat persekutuan.

Timbalan Setiausaha Agung, Armizan Mohd Ali, berkata tiada perjanjian dalam memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani pada Disember 2022 bagi membentuk kerajaan pusat mewajibkan model sama diikuti di peringkat negeri.

Katanya, tambahan pula kerajaan Sabah kini mengikut model perpaduan di peringkat negeri dibentuk selepas muafakat GRS dengan Pakatan Harapan (PH) Plus apabila ada pihak gagal dalam cubaan meruntuhkan pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor.

Sebagai rekod, Barisan Nasional (BN) dalam cubaannya menjatuhkan pentadbiran Hajiji dalam episod dinamakan ‘Langkah Kinabalu’ pada Januari 2023.

Armizan Ali
Armizan Mohd Ali.

“Sekiranya kita boleh menghormati model kerajaan di Sarawak dan Johor yang berbeza dengan komposisi kerajaan perpaduan persekutuan, mengapa perlu kita paksa Sabah mengikut sepenuhnya komposisi wujud di persekutuan,” kata Armizan dalam kenyataan.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Bendahari Umno Sabah Salleh Said Keruak menyifatkan BN dan PH tunjang kerajaan di persekutuan dan tidak logik untuk memisahkannya.

Menurutnya, keadaan politik di Sabah berbeza dengan Sarawak yang menolak semua parti nasional termasuk BN dan PH.

“Di sini, kestabilan datang daripada kerjasama BN, PH, dan parti tempatan,” kata Adun Usukan itu.

Mengulas lanjut, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata teras kepada sebarang pembentukan kerjasama PRN Sabah seharusnya mengikut kesediaan dan keserasian pihak terlibat.

“Meletakkan faktor dan syarat lain sebagai pertimbangan utama tidak akan memastikan kerjasama yang dibentuk berjaya dan stabil.

“Ini parameter utama patut dijadikan teras perbincangan dan pertimbangan kerjasama,” kata menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu.

Polemik kerjasama PRN timbul susulan pengumuman Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin berhubung keputusan BN bekerjasama dengan PH yang akan diadakan tahun ini.

Bagaimanapun, pemimpin PH menyatakan belum ada perbincangan rasmi ke arah itu.

Hajiji yang juga pengerusi GRS turut membayangkan komponen itu akan bekerjasama dengan PH. Bagaimanapun, BN Sabah pula enggan bekerjasama dengan GRS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.